Mahu mencipta nama dan melebarkan sayap di luar negara, Noor Neelofa Mohd Noor mengambil keputusan untuk memulakan perjalanan seninya di Indonesia.
Memilih Indonesia sebagai lokasi pertama di luar negara bagi mengembangkan kariernya, pengacara popular ini ada jawapan tersendiri.
“Saya mahu fokus kepada negara yang serumpun dengan kita terlebih dahulu kerana kita juga mempunyai bahasa dan budaya yang lebih kurang sama.
“Malah, negara tersebut juga bersebelahan dengan kita,” katanya kepada MH.
Neelofa ditemui di Menara Ken, Taman Tun Dr.Ismail sempena majlis pelancaran kempen Naelofar #gonaelofar pada Sabtu.
Perkara ini menjadikan Neelofa,31, perlu menguasai dan mempelajari bahasa Indonesia dengan menggunakan khidmat tutor sebagai persiapan awal bagi menembusi pasaran di sana.
“Sekarang ini saya sedang belajar Bahasa Indonesia bersama seorang tutor yang kini tinggal bersama saya selama sebulan.
“Setiap hari kami akan belajar bersama untuk berkomunikasi dan saya juga perlu tahu apa maksud di sebalik setiap perkataan yang saya akan sampaikan ketika bercakap bahasa tersebut.
“Saya perlu menguasai bahasa tersebut kerana komunikasi merupakan satu perkara yang paling utama apabila kita berada di negara orang.
“Malah, untuk saya lebih mudah mengembangkan karier di negara jiran,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini menjelaskan bahawa dia bakal berlakon dalam sebuah filem di Indonesia yang dijangka memulakan penggambaran April ini.
“Kalau tiada aral melintang, saya akan memulakan pengambaran pada April ini, namun jika semuanya sudah pasti, saya akan dedahkan lebih lanjut kepada umum.
“Malah, saya mahu meluangkan masa di sana dan bukan sekadar berlakon dan ulang alik Malaysia semata-mata,” jelasnya yang kini sudah meninjau beberapa buah lokasi startegik sebagai kediaman di Indonesia.
Terdahulu, juara Dewi Remaja 2009/10 ini mahu memberikan ‘nafas baru’ terhadap jenama tudungnya, Naelofar agar selari di peringkat antarabangsa.
Malah, keunikan simbol typography ‘n’ dan simbolik warna terang seperti jingga merupakan warna terang bagi mengetengahkan penggayaan dan fesyen wanita berhijab.
Ini kerana, Naelofar Hijab sudah memulakan operasi selama enam tahun.
https://www.youtube.com/watch?v=_xBC0SqG-qA
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI