Pelawak dan usahawan, Shuib mendedahkan dia masih lagi mengambil beberapa tawaran seni yang bersesuaian meski fokus utamanya kini terhadap dunia perniagaan, seiring dengan azam tahun baru 2024.
Pernah menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio sebelum ini, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 39, mengakui kecintaannya terhadap dunia hiburan masih lagi menebal.
“Setiap orang mempunyai azam bila tibanya tahun baru dan begitu juga dengan saya. Cuma untuk tahun 2024, komitmen dan fokus saya memang dihalakan kepada perniagaan.
“Ikutkan impian, banyak benda yang saya mahu capai tahun ini dan membuka Restoran House of Patin Melaka ini adalah salah satu impian yang sudah berjaya direalisasikan.
“Walaupun saya sudah meninggalkan konti sebagai penyampai radio, namun itu tidak menjadi ‘signal’ untuk saya senyap terus daripada industri seni.
“Ya, saya masih lagi aktif cumanya buat masa sekarang mungkin ada tawaran yang boleh saya jayakan sekiranya ia tidak ada percanggahan masa dengan kerja-kerja bisnes.
“Macam sekarang, setiap minggu saya ada kerja di luar kawasan atas urusan perniagaan,” katanya yang merancang untuk mengembangkan cabang bisnes ke luar negara, bermula dengan negara jiran.
Baginya, tiada apa yang mustahil. Selagi ada usaha dan keinginan, sudah pasti rezeki akan mengiringi.
“Menerusi Bubblebee misalnya, memang ada perbincangan untuk bawanya ke luar negara. Antara negara yang sedang kami intai termasuk Thailand, Singapura dan Brunei, Insya-Allah.
“Sejak tahun lalu, memang ada perancangan untuk ke arah itu. Doakan moga impian ini akan menjadi kenyataan. Progres Bubblebee juga baik ketika ini, alhamdulillah. Iyalah, kalau sesuatu yang kita buat itu menjadi, sudah tentu ia akan bagi kepuasan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shuib turut optimis untuk membawa Restoran House of Patin Melaka yang terletak di Kampung Hulu, Melaka ke tahap yang boleh dibanggakan meski baru sebulan ia beroperasi.
Majlis perasmian Restoran House of Patin Melaka telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Saya usahakan restoran ini bersama dua rakan kongsi. Sebelum ini kami mengusahakan restoran lain di lokasi sama, bagaimanapun proses penjenamaan semula telah dilakukan dan lahirlah Restoran House of Patin Melaka.
“Syukur sangat, setakat ini sambutan yang diterima adalah baik. Restoran House of Patin Melaka menyediakan pelbagai menu lazat yang mesra dengan semua golongan.
“Harga yang ditawarkan pasti berbeza mengikut jenis ikan dan juadahnya, jadi terpulang kepada permintaan pelanggan. Mahal atau sebaliknya, semestinya kami akan menjaga standard kualiti terhadap mana-mana menu yang disajikan,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini