Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 (FFM), Zul Ariffin menyifatkan kemenangannya malam tadi sebagai sesuatu yang istimewa, lebih-lebih lagi impian untuk menggenggam anugerah tersebut kini menjadi kenyataan.
Lebih 13 tahun terlibat dalam seni, Zul, 35, juga akui ia bukan satu perkara mudah, memandangkan aktor lain yang turut tercalon dalam kategori sama bukan calang-calang.
“Tujuh tahun lalu saya terima Anugerah Pelakon Harapan. Masih ingat lagi ketika di belakang pentas, Datuk Rosyam Nor pernah bagitahu saya ‘kalau tak dapat anugerah (Pelakon Lelaki Terbaik), aku ‘ketuk’ kau dengan trofi ini’. Alhamdulillah, akhirnya nama saya diumumkan.
“Jujurnya ia satu bukan perkara mudah untuk genggam trofi ini. Selama 13 tahun saya dalam industri dan syukur, kemenangan ini menjadi satu kenangan yang manis,” katanya.
Memegang watak sebagai ahli sukan bela diri campuran (MMA) hingga menjulang namanya sebagai pelakon terbaik, Zul juga tumpang gembira atas kejayaan Remy Ishak dan pengarah Sangkar, Kabir Bhatia yang turut menerima trofi masing-masing.
“Tipulah kalau saya tidak pernah berangan untuk miliki trofi ini. Bila jadi kenyataan, ia sesuatu yang istimewa. Remy dan Khabir pun terima anugerah malam ini dalam satu projek yang sama. ‘Beyond special’ bagi saya. Kalau Allah nak bagi rezeki.
“Nak nama tercalon dalam lima calon akhir pun bukan senang. Malah sebelum ini pun, kalau berlakon mana-mana filem harapnya ada nama tercalon. Kali ini alhamdulillah ia jadi kenyataan menerusi Sangkar,” katanya.
Ditanya mengenai emosinya saat menggeggam anugerah tersebut, Zul tidak menafikan apa yang diraih sebagai satu kejayaan peribadi.
“Terima trofi di Festival Filem Malaysia adalah sesuatu yang berprestij. Lain daripada yang lain. Mereka yang pernah menang kategori ini pun bukan calang-calang. Sekarang alhamdulillah, saya termasuk dalam senarai itu.
“Anugerah yang lain sudah tentu istimewa juga, tapi seperti yang telah saya beritahu sebelum ini, trofi Pelakon Lelaki Terbaik hampir mustahil untuk diterima. Syukur alhamdulillah,” katanya lagi.
FFM31 anjuran FINAS disiarkan secara langsung TV2 dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI