Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali enggan terlalu membebankan fikirannya dengan kisah-kisah tular melibatkan pasangan suami isteri yang terpaksa berdepan konflik berumah tangga.
Menurut Nabila, dia percaya Allah SWT telah mengaturkan jalan hidup yang terbaik buat setiap pasangan.
“Sebagai manusia, kita tak boleh lari daripada kesilapan. Setiap manusia ada khilaf. Bagi saya sendiri, tipulah kalau saya tak takut.
“Namun, kalau kita takut disebabkan kekhilafan orang lain, mungkin kita hanya akan berdiam diri dan kekal di takuk lama.
“Saya percaya dengan apa sahaja perkara yang telah dirancang Allah SWT. Kita hanya melalui jalan kita sahaja. Apa yang berlaku pada masa hadapan, kita tak boleh kawal.
“Kita hanya boleh buat terbaik untuk diri sendiri. Jadi, saya akan cuba menggalas tanggungjawab sebagai isteri itu dengan baik,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Hanya Kamu itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perlancaran koleksi tudung Nada x Nabila Razali pada Khamis.
Ditanya adakah dia akan mengambil maklum tentang setiap gerak geri suaminya termasuk memeriksa telefon bimbit, Nabila menjawab;
“Saya tak berani nak cakap mengenai hal ini. Sesiapa yang mengenali diri saya, saya bukanlah orang yang sebegitu. Kita bercakap tentang sekarang, pada masa hadapan, kita tak tahu lagi.
“Saya hanya mampu merancang dah cuba jadi yang terbaik. Namun, kita tak mampu nak kawal semua. Ada perkara kalau kita kawal sekalipun, kalau nak jadi, ia akan jadi juga.
“Jadi, saya mengharapkan agar semua pihak mendoakan yang baik-baik sahaja buat saya dan suami. Semoga perkahwinan kami berkekalan hingga ke syurga,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Nabila akui kehidupannya kini makin ceria selepas berumah tangga.
“Yang pastinya kami dah halal. Sekarang saya punyai teman dan tempat mengadu. Bila penat balik kerja, adalah orang kita nak bercerita.
“Balik buat persembahan, kadang kala kena kecam pula. Dulu tiada tempat nak meluah. Sekarang boleh nak mengada sikit.
“Dia sangat menyokong kerjaya saya. Selalu ingatkan saya untuk bekerja keras. Dia tidak terlalu memanjakan saya.
“Saya bersyukur dikurniakan pasangan yang mempunya pemikiran yang sama bila melibatkan kerja,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Nabila Razali sah bergelar isteri kepada usahawan Nik Iruwan Nik Izani, dengan sekali lafaz pada tanggal 18 November lalu.
Majlis pernikahan pasangan ini diadakan secara tertutup dan dihadiri hanya ahli keluarga serta teman rapat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Nabila Razali