Mempunyai beberapa babak yang memerlukan diriya mendedahkan sebahagian tubuh badannya, pelakon Tiz Zaqyah berkata setiap apa yang dilakukannya itu mempunyai mesej yang cuba disampaikan dan bukan sahaja-sahaja mahu menayang badan.
Menurut Tiz atau nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak, 35, babak dalam bilik mandi sehingga mendedahkan bahagian bahu dan kaki telah diteliti dan dinilai berdasarkan jalan cerita tersebut.
“Bukan sengaja nak tayang badan untuk orang tonton pun sebab paling penting ialah mesej kepada penonton mengenai apa yang dilalui oleh mangsa rogol. Itu yang kami nak sampaikan.
“Kalau ada yang mahu jadikannya isu, biarkan sahaja. Bagi saya, ambil mesej positif manakala yang buruk jadikan teladan.
“Jika ada adegan yang keterlaluan, saya akan bincang dnegan pengarah dan ada juga yang saya menolak… mereka sangat menjaga keselesaan dan bertolak ansur dengan saya,” kata Tiz.
Menerusi drama terbaharu lakonannya berjudul Liar, Tiz membawakan watak mangsa rogol, Lara dan terdapat beberapa babak memaparkan perkara-perkara yang perlu dilalui mangsa bagi mendapatkan bukti bagi mendakwa suspek termasuk pemeriksaan doktor dan membuat laporan polis.
Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya itu, Tiz berkata sangat sukar untuknya untuk membawakan watak Lara sehingga ia memberikan kesan terhadap mentalnya.
“Karakter Lara sangat berat terutama sebagai mangsa rogol, Tuhan sahaja tahu apa yang saya rasa.
“Setiap kali habis penggambaran, rasa tidak sabar hendak tukar baju yang dipakai Lara.. lain macam rasa dia.
“Paling membuatkan saya terkesan ialah ketika babak pemeriksaan selepas dirogol.
“Melihat banyak poster tentang jenayah rogol yang ditampal dalam bilik tersebut sudah membuatkan saya berasa anxiety namun ia masih terkawal,” katanya lagi.
Liar merupakan adaptasi daripada drama British menggunakan judul serupa. Selain Tiz, Liar turut dibintangi Tony Eusoff, Ezzaty Abdullah, Datuk Jalaluddin Hassan, Nadiya Nisaa, Nazrief Nazri, Aniq Suhair dan Wan Raja.
Drama Astro Originals ini diarahkan oleh tiga pengarah iaitu Jason Chong, Imri Nasution dan Lim Siu Min.
Liar bakal ditayangkan bermula esok (25 Mac) setiap Sabtu, jam 12 tengah malam di platform On Demand dan Astro Go. Ia turut ditayangkan di saluran Astro Ria (104) bermula 3 April, setiap Isnin jam 9 malam.
Liar mengisahkan tentang Lara Sulaiman, seorang guru yang bijak dan berdedikasi. Selepas bercerai dengan suaminya, Lara cuba untuk ‘move on’ dan mula kelular berjanji temu dengan Aiman Yusof yang merupakan seorang doktor pakar bedah.
Selepas temu janji pertama, Lara menuduh Aiman merogolnya, sebaliknya Aiman menafikan perkara itu dan menegaskan dia hanya membantu Lara yang tidak sihat untuk pulang ke rumah dengan selamat.
Siapakah yang bercakap benar di antara mereka berdua. Saksikan Liar untuk ketahui jawapannya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI