Peserta program Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Sham Visa meminta para peminat supaya tidak terkilan dengan komen yang diberikan ketua juri, Datuk Ramli MS sejurus penyanyi berkenaan selesai membuat persembahan di minggu kedua, Ahad lalu.
Menyampaikan lagu sendiri bersama kumpulan Visa berjudul Untukmu Selamanya, Ramli membayangkan penyanyi berusia 48 tahun itu perlu lebih ‘manly’.
Juri yang sinonim disapa Tok Ram itu lebih gemar andai imej yang dibawa lebih kepada ‘rockers’.
“Saya harap peminat tak terkilan. Saya terima apa sahaja komen yang membina.
“Mungkin ada sesuatu yang Tok Ram mahu saya lakukan, sama ada kepada lagu atau gaya tubuh. Mungkin juga kerana tak cukup energi seperti yang dimahukan… Saya pun bukan orang muda.
“Tak rasa itu satu penghinaan, sebagai seorang penyanyi saya perlu tengok apa yang kurang, mungkin ada betulnya juga dan seterusnya perbaiki diri. Saya tak ambil hati,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, bapa kepada dua cahaya mata ini juga bersikap positif dan cuba perbaiki persembahan andai ada terkurang.
“Saya pun perlu belajar dari juri profesional, ia satu kritikan yang membina. Saya terima sebab juri melihat persembahan saya, saya yang mempersembahkan sesuatu.
“Mungkin baginya ada ‘asam dan garam’ yang tak cukup,” akui Sham optimis.
Berkongsi mengenai lagu yang bakal dipersembahkan minggu hadapan, Sham memberitahu lagu Sayang-Sayang (nyanyian asal Aliff Aziz) adalah sesuatu yang agak asing bagi dirinya.
“Sebagai seorang penyanyi, tanggungjawab seorang penyanyi adalah memberi keadilan kepada sesebuah lagu.
“Pastikan kita boleh sampaikan jiwa lagu itu. Itu yang saya percaya walau apa sahaja ‘baju baru’ yang dikenakan kepada sesebuah lagu.
“Saya pernah dengar tapi saya belum pernah nyanyikan lagu Sayang-Sayang. Sebelum tidur, cuba untuk telaah lagu tersebut, cuba sampaikan dengan baik insyaAllah,” harapnya.
Ditanya sama ada teguran juri minggu lalu membuatkan dirinya rasa takut, Sham punya jawapan sendiri.
“Ia di luar bidang kuasa saya. Cuma apa yang boleh saya lakukan ialah jadi diri sendiri dan cuba untuk sampaikan lagu tersebut tidak seperti penyanyi asalnya.
“Sebab itulah temanya ‘Aneh’ dan ia memang aneh buat diri saya. Saya sangat terbuka dan memang perlu dengan orang yang lebih muda,” katanya.
GV6 bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandar Raya Shah Alam menerusi Astro Ria 104 dan Ria HD 123.