Tok Ti Kagum, Ziana Anggap Anugerah Nona Superwoman Penghargaan Buat Wanita

Share

Kempen Nona Superwoman yang dibawakan majalah Nona terbitan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd sampai ke kemuncak apabila Malam Anugerah Nona Superwoman 2018 telah pun melabuhkan tirainya malam tadi, melakar 1001 momen indah buat para pemenangnya.

Hadir dengan teman ‘Inspirasi Wanita Bermula Di Sini’, anugerah yang mengiktiraf wanita menerusi 16 kategori yang sinonim dengan majalah Nona menyaksikan para pemenangnya tidak hanya terdiri daripada golongan selebriti semata.

Sebaliknya para wanita yang berkarisma dalam lapangan masing-masing turut diberikan penghargaan sewajarnya.

Bagi penyanyi nombor satu, Datuk Seri Nurhaliza yang diangkat sebagai penerima Nona Influencer Award 2018 menyifatkan kepercayaan yang diberikan majalah berkenaan sebagai suatu amanah buatnya untuk terus cuma memberikan motivasi terbaik buat para peminat.

“Saya kagum dengan penganjurannya dan bercakap soal anugerah ini memang sejak dulu saya sudah ‘lekat’ dalam kepala kena sumbangkan hal yang baik buat peminat. Sebab sebagai artis, apa sahaja yang dilakukan akan menjadi ikutan orang di luar sama walau hal yang kecil pun.

“Jadi bila sudah bergelar artis selama 22 tahun dalam industri, semua itu saya cuba tanamkan dalam diri. Kena berikan motivasi yang baik buat peminat. Apa pun, yang baik boleh dijadikan panduan dan yang tak elok tu janganlah ikut,” katanya kepada MH.

Ditanya mengenai pengertian ‘superwoman’ itu sendiri, penghibur yang kini sinonim menerusi lagu Anta Permana ini mengakui status tersebut amatlah besar untuk digalas.

“Sejujurnya, status itu memang belum termampu dan betul-betul hebat untuk saya galas. Tetapi apabila diberikan penghargaan ini, saya ucapkan terima kasih.

“Bagi saya, untuk menjadi seorang superwoman itu, ia perlukan pelbagai kemahiran dan berkemampuan untuk lalukan apa sahaja. Seterusnya apa yang dilakukannya itu boleh memberi inspirasi kepada semua wanita,” jelas Siti lagi yang anggun dalam persalinan gaun rekaan Rizman Ruzaini.

Sementara itu, Ziana Zain yang hadir sebagai penerima Nona Independent Woman Award 2018 pula berkata, pengiktirafan yang diberikan merupakan suatu penghargaan kepada golongan wanita.

“Bagi saya wanita yang independent adalah wanita yang cuba berdikari. Saya berterima kasih buat team Nona yang berikan anugerah ini kerana ia secara tidak langsung memberi motivasi kepada saya untuk jadi lebih positif.

“Pada masa sama cuma untuk terus berdikari demi masa depan saya dan anak-anak insyaAllah,” kata Ziana yang bakal muncul dengan beberapa projek istimewa tahun hadapan.

Editor pengurusan Nona, Kiffy Razak pula menjelaskan, dia teruja dan gembira terhadap penerimaan serta sambutan daripada penerima anugerah yang sudi berkongsi kisah kejayaan mereka yang sekali gus, menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana.

“Sebelum kami hadir dengan majlis seumpamanya, kami pernah menganjurkan program seperti Nona 3 Dekad, 60 Wanita Inspirasi Nona dan Temasya Nona Wedding Trend. Bagaimanapun, penganjuran acara sebelum ini adalah dalam skala kecil.

“Jadi kali ini, kami tampil lebih gah dan lebih prestij. Para penerima juga terdiri daripada wanita yang terbukti banyak memberikan inspirasi dan kekuatan kepada wanita di luar sana untuk terus maju ke hadapan dalam dunia yang kian mencabar,” jelasnya.

Malam kemuncak Nona Superwoman yang dilangsungkan di Sime Darby Convention Centre Bukit Kiara turut dipancarkan secara terus menerusi Live FB Majalah Nona, Mingguan Wanita dan Media Hiburan.

Anugerah utama pada malam itu, Nona Superwoman Award 2018 diterima oleh Tan Sri Datin Paduka Sri Rafidah Aziz, yang disampaikan oleh YB Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Saksikan liputan penuh Anugerah Nona Superwoman 2018 menerusi LIVE FB MH di bawah;

Published by
Rafiq Mazlan