Uncategorized

‘Tombiruo Itu Sebenarnya Adalah Hero’ – Ramlee Awang Murshid

Share

Selepas sekian lama menanti, penulis thriller nombor satu, Ramlee Awang Murshid mengakui berdebar menunggu tayangan filem adaptasi novelnya, Tombiruo: Penunggu Rimba.

Katanya, perasaan itu timbul lantaran bimbang dengan penerimaan penonton dan pembaca setia novelnya.

“Jauh di sudut hati, saya tetap gembira, cuma, tidak sabar menanti reaksi peminat filem ini.

“Tapi, saya bersedia menerima sebarang kritikan. Saya sendiri sudah menulis sejak lebih 20 tahun lalu. 

“Dan… bagi saya, kritikan itu satu perkara biasa,” katanya pada Media Hiburan. 

Jelasnya, secara tidak langsung, filem arahan Nasir Jani dan Seth Larney itu membantu merealisasikan impian pembaca setianya yang mahu melihat tulisannya ke layar perak.

“Cuma, novel memiliki empayar yang luas manakala filem pula terikat dengan masa.

“Kalau mahu masukkan keseluruhan cerita seperti yang tertulis dalam novel mungkin agak mustahil. 

“Jadi, kita sudah berikan sehabis baik agar teras cerita itu ada dalam babak-babak filem. 

“Apa yang saya boleh katakan, asas jalan cerita utamanya tetap dikekalkan,” katanya.

Jelas penulis berusia 49 tahun ini, Tombiruo bermaksud hantu mengikut kepercayaan kaum Kadazan Dusun, di negeri kelahirannya, Sabah.

Sedar panggilan Tombiruo agak janggal dalam masyarakat Semenanjung, namun baginya, Tombiruo itu sebenarnya adalah hero.

“Di Sabah, terlalu banyak etnik dan Tombiruo lebih sinonim dalam masyarakat Kadazan Dusun. Malah, ia adalah istilah yang jarang digunakan dalam masyarakat di Sabah.

“Dari situ, saya cuba memperkenalkan menerusi Tombiruo: Penunggu Rimba. Namun, dalam penyampaian itu, saya memperkenalkan Tombiruo bukanlah sekadar hantu semata-mata, ia lebih kepada hero.

“Senang cerita, Tombiruo adalah semangat dan roh yang tidak berbentuk tetapi bersifat. Sifatnya menakutkan dan muncul dalam pelbagai gambaran,” katanya.

Novel Tombiruo: Penunggu Rimba diterbitkan  menerusi syarikat penerbitan Alaf 21 di bawah Grup Buku Karangkraf sejak 1998.

Sehingga hari ini, penjualan novel ini masih berterusan malah turut muncul sebagai karya ‘Top 10’ di kebanyakan toko buku.

Lebih segar

Tambah Ramlee, Tombiruo: Penunggu Rimba turut menampilkan naskhah yang lebih segar dan berbeza sesuai untuk tontonan semua masyarakat.

“Filem ini mengandungi semua rencah termasuklah daripada sisi politik, keluarga, cinta dan aksi. 

“Ia mengisahkan perjuangan lelaki bukan berwajah manusia mempertahankan jajahannya di hutan. 

“Apa yang penting, cerita ini mempunyai mesej yang kuat untuk diketengahkan.

“Saya mahu mengajak penonton sama-sama berfikir apakah tindakan yang seharusnya dilakukan,” katanya. 

Pada masa sama, anak kelahiran Sabah ini turut terlibat sepenuhnya dalam proses penghasilan skrip dan pemilihan pelakon.

“Filem itu memaparkan kisah lelaki bernama Ejim yang digelar Tombiruo dalam kalangan penduduk setempat kerana dianggap sebagai penunggu hutan.

“Lelaki yang sentiasa bertopeng itu disisihkan penduduk kerana tidak memiliki wajah manusia. 

“Bagaimanapun, kehidupan yang dijalani Tombiruo kemudian berubah apabila dia mahu membalas dendam atas insiden tragis yang berlaku ke atasnya,” katanya. 

Lebih istimewa, Tombiruo: Penunggu Rimba menyaksikan gabungan empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan berkolaborasi buat kali pertama selaku penerbit.

Bahkan, filem itu juga menampilkan barisan pelakon tanah air yang cukup hebat seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Farah Ahmad.

Filem bergenre aksi itu juga mengetengahkan nama-nama lain seperti Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynaz, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Artu dan pelakon cilik, Muhammad Al-Rayyan.

Ia bakal menemui penonton di pawagam pada 12 Oktober depan.

Published by
Norhidayyu Zainal