Total Bonus Staf Cecah RM300,000 & Rasa Disayangi, Hafiz Mahamad Dedah Jadi Influencer Untuk Angkat Darjat Isteri

Share

Pempengaruh dan usahawan terkenal, Hafiz Mahamad teruja dapat memenuhi permintaan warga kerjanya untuk melihat dia membawa pulang trofi utama Gempak Most Wanted Award di acara Gempak Most Wanted Award 2022 (GMWA2022), pada Ahad.

Jelas Hafiz, sokongan yang ditunjukkan oleh pekerja yang menjadi tulang belakang sememangnya membuatkan dia rasa disayangi.

“Bila ada anugerah seperti ini, nama tercalon pun kita rasa pelik. Sewaktu pertama kali diumumkan sebagai salah seorang calon, ada staf datang berjumpa dan berkata, dia mahu saya menang anugerah ini.

“Mereka sangat ‘all out’ dan hari-hari cakap yang mereka mengundi saya. Jadi, saya bertekad untuk cuba bawa pulang anugerah ini dan kongsikan bersama para staf,” katanya kepada MH.

Lalu sebagai tanda penghargaan, Hafiz berbesar hati untuk memberikan ‘durian runtuh’ buat para pekerjanya.

“Baru-baru ini, saya ada berkongsi satu video di mana staf saya membuat kejutan dengan menampal poster-poster undian dan muka saya di seluruh pejabat. Melihat kesungguhan mereka, ia buat saya bertambah sayang.

“Jadi, saya sudah berhajat. Kalau ada rezeki menang, saya akan berikan mereka cuti dan bonus sebulan gaji sewaktu Syawal nanti dan kejutan lain untuk syarikat lainnya.

“Ini bukan bonus prestasi tahun lepas tapi bonus tambahan. Syarikat kami memang akan memberikan bonus sebulan gaji ketika hari raya dan bonus dua atau tiga bulan gaji pada akhir tahun. Ini balasan sempena rasa sayang mereka kepada saya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, bapa kepada dua orang cahaya mata ini turut mendedahkan hatinya mula terdetik untuk bergelar influencer ketika isterinya sering kali diperkecilkan.

“Pada saya, influencer ini merupakan individu yang mempunyai ilmu, sedikit harta, nama dan pengaruh. Dahulu, saya bukan seorang yang aktif di media sosial.

“Kemudian, saya memilih untuk aktif kerana isteri saya pernah diperkecilkan oleh mereka yang punyai ciri-ciri tersebut.

“Jadi, saya manfaatkan platform media sosial untuk mengangkat darjat-darjat mereka yang selalu dipandang rendah. Setiap perkongsian saya, bukan untuk mengejar populariti.

“Konten-konten saya banyak berkisarkan tentang staff dan kebahagiaan isteri. Saya pun tak tahu adakah konten tersebut berkualiti atau tidak. Jika konten tersebut mampu membuatkan orang menitis air mata, bermakna ia punyai manfaat dan kebaikan,” kongsinya lagi

Hafiz berkata sedemikian ketika ditemui usai acara GMWA2022 pada Ahad.

Ketika ditanya mengenai pempengaruh-pempengaruh masa kini yang sering menghasilkan konten-konten kontroversi, Hafiz punyai pandangan tersendiri.

“Bagi influencer-influencer masa kini, mungkin mereka ada cara yang berbeza. Pada saya, itu adalah proses kematangan.

“Ketika saya baru belajar menggunakan media sosial, kita pun suka konten yang pelik-pelik. Bila sudah aktif lebih tiga atau empat tahun, mereka akan perbaiki sendiri,” akhirinya.

Selain anugerah utama, Hafiz juga turut menerima trofi Digital Influencer Tergempak.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf