Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel tiada masalah dengan trend segelintir pelakon masa kini yang gemar menayang bentuk badan sasa sebagai konten atau pengisian kandungan di media sosial.
Menurut Naim, setiap orang mempunyai cara untuk mengekspressikan diri sendiri namun janganlah bertindak secara keterlaluan.
Berbalik kepada niat, penyanyi lagu Sumpah ini turut berpandangan para pelakon ini juga perlu menunjukkan pencapaian dan bukan sekadar mempamerkan otot badan semata.
“Mungkin itu yang dimahukan oleh peminat-peminat mereka. Namun, ketika ini, kita sendiri pun tahu apa konten-konten yang kita sajikan buat peminat.
“Selain imej diri sendiri, imej di media sosial juga harus dijaga. Nak belanja sangat pun kalau produk tiada, tak guna juga.
“Apa-apapun kita kena sedar diri ini famous sebab apa? Jangan sekadar tayang badan sahaja, kena ada pencapaian juga,” katanya kepada MH.
Naim berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media dan tayangan perdana drama Projek; Exit, baru-baru ini.
Katanya lagi, jika kita melihat perkara ini daripada sudut pandang positif, mereka secara tidak langsung telah memberikan contoh buat masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Pada saya, para pelakon atau penghibur harus punyai badan yang sihat. Kalau kita bersenam tanpa henti tapi ambil bahan terlarang, tak guna juga.
“Dahulu, saya juga gemar tayang badan tapi fasa itu telah berlalu. Namun, saya masih lagi aktif bersenam untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
“Dalam bidang pekerjaan seperi anak seni dan media, waktu kerja kita tidak menentu. Hari cuti pun kita kena kerja. Apa-apapun, jagalah kesihatan,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Naim turut percaya sebagai pempengaruh, kita mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan perkara-perkara positif di media sosial.
“Pada saya, trend yang mengajak orang ramai ke arah gaya hidup sihat ini sangat baik. Kita ambil contoh sukan berlari, saya sokong aktiviti itu.
“Bila kita tengok mereka berlari, kita juga jadi terinspirasi. Lebih baik promosi konten-konten sebegitu daripada yang entah apa-apa,” akhirinya.