“Tuhan Tolong Tutup Auratku,” – Fedtri Yahya Imbas Tragedi Kemalangan Arwah Shadiya Abbas

Share

Genap dua tahun kemalangan yang melibatkan ustazah Shadiya Abbas bersama suami dan dua anaknya, pengacara Fedtri Yahya mengimbau kembali perkongsian arwah yang memohon agar auratnya terpelihara ketika sedang dalam rawatan kecemasan.

Jelas Fedtri, arwah yang sedang lemah ketika itu tidak meminta apa-apa kecuali supaya auratnya terpelihara walau dalam darurat dan Allah perkenankan doanya apabila seorang jururawat datang dan menutup kepala dan lehernya dengan sehelai tuala.

“Imbasan peristiwa: Ketika kemalangan yang menguji nyawa, iman dan kudratnya… Ustazah Shadiya yang lemah tidak meminta apa-apa kecuali satu – Auratnya terpelihara, sekalipun dia tahu ada darurat dan ada mudarat. Allah makbulkan doanya.

“Kini dia telah pergi buat selamanya. Dugaan athma. Anak-anak masih kecil. Semoga segala ilmunya membuka mata hati dan marilah nanti kita bantu anak-anaknya setelah segala urusan penting selesai.

“Semoga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi buat Ustaz @mkazman,” kongsinya.

Berikut merupakan perkongsian arwah tahun lalu yang menjadi sumber inspirasi buat golongan wanita agar terus menjaga aurat walau dalam apa jua keadaan.

“Perkongsian Ustazah @shadiyaabbas :

TUHAN, TOLONG TUTUP AURATKU.

“Semasa kemalangan itu berlaku, aku mendengar seorang jururawat berkata kepada temannya yang aku mesti ditukarkan baju.

“Jubah dan tudung penuh darah.

Jururawat tu berkata kepadaku;

“Dik, kita gunting baju awak ni ye.”

Saya akur. Kini badan saya ditutup dengan sehelai kain.

“Kemudian seorang jururawat menarik stokin saya. Saya kata;

“Nurse, jangan. Kaki saya sejuk.” Sebenarnya, itu sahaja aurat yg mampu saya jaga.

“Dalam ICU tu saya tidak tahu keadaan wajah saya. Tapi saya tahu cedera sahaja. Saya boleh bercakap, walaupun saya tak tahu bibir kanan saya dah koyak.

Saya tahu rambut saya terdedah. Doktor lelaki dan perempuan bergilir-gilir meninjau keadaan saya.

“Sehingga seorang doktor lelaki mengambil gambar saya dan menunjukkannya kepada saya. “Maaf ye. I terpaksa tunjuk muka U. Cedera teruk.

“Kita kena buat plastic surgery hari ni juga.” Saya merenung skrin telefonnya. “Doktor, nanti kasi hidung saya macam U.” Saya katakan kepada seorang Dr perempuan India yang memberi kata-kata kekuatan kepada saya.

“Ketawa Dr India tu. Manis. “You kan sakit, boleh buat joke.” Dalam keadaan mata saya berbalam melihat cahaya lampu, saya disorong keluar. Saya dengar suara-suara manusia yg kebanyakannya lelaki. Hati saya galau.

“Kemudian saya disorong masuk ke dalam sebuah bilik. Saya seorang diri. Sunyi dan sejuk di dalam bilik.

“Saya merintih. Bukan kerana sakit, tetapi kerana saya TIDAK BERDAYA. “Tuhan, aku tidak berdaya. Aku redha tapi aku malu kerana auratku terdedah. Tutuplah kepalaku Ya Allah.” Sedang saya berbisik-bisik tanpa suara, datang seorang jururawat. “Ustazah, saya tutup kepala ustazah dengan tuala ye. “ jururawat yg saya tak nampak wajahnya, meletakkan kain atas kepala saya.

“Dia mengemaskannya sehingga menutup leher saya.

“Saya sebak. Tuhan… Engkau Maha Memelihara. Engkau Maha Penjaga

Dalam keadaan aku berkuasa aku berusaha taat kepadaMu. Dalam keadaan aku tiada daya ampunilah aku. Engkau Tidak Akan Menghampakan HambaMu. Walau beribu derhaka.

“Berjuta peluang engkau buka agar kembali kepadaMu. Aku tak boleh hidup tanpaMu.

“Imbasan Peristiwa;

Shadiya

Hospital Besar Ipoh

April 2018,” kongsi arwah.

Menurut suaminya pula iaitu ustaz MK Azman,  arwah meninggal dunia akibat sesak nafas dan kini sedang berada di Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital akan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas jenazah atas sebab negara sedang dilanda wabak merbahaya ini.

Foto : Instagram Shadiya Abbas

Published by
Noraini Abd Wahab