Pelakon Jue Aziz berharap warganet tidak terus mengecam pengasas produk kecantikan, Nur Qaseh Aleeya yang dituduh menyamar sebagai dirinya dengan berpurdah, sebagaimana yang tular baru-baru ini.
Menurut Jue, dia tidak mengambil isu terbabit sebagai hal serius selagi perkara tersebut tidak mengaibkan dirinya atau menjurus kepada hal yang tidak baik.
“Kasihan saya tengok apabila dia dikecam teruk oleh netizen. Agak terkejut jugalah bila ada orang cakap dia seperti saya.
“Saya okey saja bila dia menyamar sebagai saya selagi apa yang dilakukan itu ke arah kebaikan bukan mengaibkan.
“Kalau ia sesuatu yang mengaibkan saya tidak akan berdiam diri, tapi mujurlah dia cuba menjadi diri saya,” katanya.
Pelakon filem Hantu Bonceng ini menambah, meski masih ada yang mengingatinya, namun dia bersimpati dengan kecaman yang diterima usahawan terbabit.
“Saya ada baca komen-komen di Twitter ada yang kecam mengenai pemakaian stokin. Rasanya dia sudah jelaskan dia memang pakai stokin berwarna kulit.
“Kemudian ada juga yang kecam bentuk fizikalnya. Saya harap dia kuat berdepan dengan kecaman ini.
“Apapun saya sebenarnya gembira apabila ada pihak masih mengingati saya. Cuma saya kasihan dengan wanita itu.
“Saya tak rasa dia sama dengan saya pun, dia cuba nak buat suara serak-serak basah tapi siapa yang mengikuti perkembangan saya akan tahu itu bukan saya,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang wanita yang memiliki suara mirip pelakon tersebut mengiyakan dirinya adalah pelakon itu.
Lebih mengejutkan, dia yang mengaku sebagai Jue Aziz turut mengenakan purdah hingga ada peminat yang terkeliru.
Susulan itu, ia mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat setia pelakon berkenaan hingga ada yang menyifatkan usahawan terbabit sengaja menumpang popularitinya.
Bagaimanapun, wanita terbabit tampil menjelaskan ia hanyalah gurauan oleh para pekerjanya dan dia sendiri tidak pernah menyatakan wajahnya sama dengan pelakon itu.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI