Tunjuk Video Isteri ‘Berjuang’ Bersalin, Nukilan Hafiz Mahamad Buat Anak Lelaki Jentik Hati Ramai

Share

Usahawan terkenal, Hafiz Mahamad menitipkan pesanan istimewa buat anak lelakinya, Rayqal Arees yang baru sahaja selamat dilahirkan pada Selasa.

Dalam nukilannya itu, Hafiz mengamanahkan anaknya itu untuk sentiasa menghargai jasa dan melindungi ibunya yang telah banyak berkorban demi kebahagiaan keluarga.

“Anak ku, ini hadiah untuk awak. Ketika aku menulis ini, awak masih lagi berusia baru 18 jam. Rayqal Arees, Daddy syukur awak datang dalam kehidupan kami dalam keadaan sihat, semangat dan daddy tahu awak adalah ‘lelaki hebat’

“Wahai anak lelaki ku, seperti mana pun keadaan mu, ‘jangan pernah lupa tentang ibumu’. Besar jasa ibumu, jagalah hati mummy hingga nafas yang terakhir.

“Mummy awak seorang yang cantik, lembut. Puji dan jagalah dia seperti mana ‘atuk’ kamu menjaga mummy. Jangan pernah biarkan dia menangis kerana kecewa ataupun dihina manusia. Ibumu kuat menjaga kamu dan kamu ‘anak lelaki’ daddy pun harus kuat untuk menjaga keluarga

“Jika setitis air mata ibu mu jatuh, ambil penting perkara itu. Tanya dia sehingga kamu dapat jawapan. Mummy kamu suka sembunyikan. Tanya sampai dapat jawapan. Jika menitis kerana dia bangga dgn perjuangan kamu, kamu harus teruskan. Jika menitis kerana manusia lain, kamu harus kuat, bijak dan tahu ‘bagaimana untuk menguruskan’,” tulisnya.

Titipan tersebut dikongsikan sendiri oleh suami kepada pempengaruh, Syafiqah Aina itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.

Menerusi posting yang sama, Hafiz turut berkongsi sepotong video yang memaparkan situasi ketika Aina sedang melahirkan cahaya mata keduanya itu.

Dalam pada itu, Hafiz turut mengingatkan anaknya itu untuk tidak sesekali meninggi diri meskipun dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai bisnes yang sangat sukses.

“Membesar dan belajarlah anak ku. Rayqal, jangan merendahkan orang yang kamu rasa dia lemah. Angkat darjat dan pimpin mereka yang dalam keadaan lemah. Wujudkan jiwa ‘pemimpin’ dalam diri kamu

“Jangan pernah sombong, kerana asal usul orang tuamu juga seperti mereka. Orang orang ini adalah sahabat sahabat ku dan mereka yang menghulur doa untuk keluarga, perniagaan kita & ‘KAMU’. Kamu terhutang budi dengan mereka, membesar lah kamu untuk membantu Ummah

“@ainaabeautyofficial , ini punca rezeki daddy dan mummy. Di dalam ni ada pasukan dan hamba Allah yg perlu kamu hormati. Satu hari nanti, jika mereka memanjakanmu dan memanggilmu ‘anak boss’. ‘Tundukkan muka mu’ dan berlatih untuk ‘merendah diri’,” katanya lagi.

Lantaran itu, dia turut berharap agar anaknya itu dapat menjadi insan yang berguna buat keluarga dan masyarakat.

“Rayqal, ini hadiah untuk kamu. Hadiah daddy adalah, “Amanah” untuk kamu. Daddy akan mendidik kamu untuk menjadi ‘lelaki yg sebenar’. Jalankan tugasmu wahai anak
Kayakan lah ibumu, ingat pesan ini

“Cari lah kejayaan yang sebenar dalam hidupmu. Membesar, cari dan kenal lah ayat yang terakhir ni. Apa dia ? Ini yang selalu daddy pegang dan jadikan prinsip hidup. “Kejayaan Demi Kebahagiaan”. Kamu akan faham nanti,” akhirinya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh saat membaca nukilan tersebut selain turut memuji cara didikan Hafiz buat anak-anaknya itu.

Sekadar informasi, Hafiz dan Aina berkahwin pada 24 November 2017. Pasangan ini juga telah terlebih dahulu dikurniakan cahaya mata perempuan, Raisya Narisa.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Hafiz Mahamad

Published by
Aizam Manaf