
Selepas kejayaan single Andai pada tahun 2024, penyanyi muda berbakat besar, Tunku Ines kini terus mengorak langkah dalam dunia muzik dengan melancarkan single terbaharu berjudul Radar.
Lagu ini bukan sekadar karya baharu, tetapi lambang keberanian Tunku Ines atau nama sebenarnya, Tunku Ines Najihah Raden dalam meluahkan isi hati dan perasaannya melalui muzik.
“Saya sangat teruja dengan pelancaran single solo pertama saya ini. Lagu ini menceritakan tentang kehilangan seseorang yang sangat berharga dalam diri kita.
“Ia lagu yang sangat menyedihkan. Lagu ini sedikit sebanyak ada berkisarkan tentang kehidupan dan pengalaman yang saya lalui ketika usia remaja,” katanya kepada MH.
Tunku Ines berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Radar di ibu negara, baru-baru ini.
Serius Dalam Kerjaya, Bukan Suka-Suka
Memilih dua nama besar dalam industri muzik, Ella dan Taylor Swift, sebagai sumber inspirasi, Tunku Ines kini tampil lebih yakin dan bersedia untuk mengejar impian menjadi penyanyi profesional.
Anak kepada Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dan Yang Mulia Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Raden ini turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menganggap dirinya hanya menceburi bidang seni secara suka-suka.
“Sejak kecil, saya memang suka menyanyi. Bila tiba hari ini, ia seperti mimpi jadi kenyataan. Saya memandang kerjaya penyanyi ini sebagai sesuatu yang serius dan bukan sekadar hobi atau mengisi masa lapang.
“Saya percaya, kita kena sentiasa kejar apa yang kita impikan. Saya memang mahu menjadi artis profesional dan mengetengahkan bakat saya di media arus perdana.
“Orang boleh bercakap apa sahaja mengenai saya dan saya tidak bertanggungjawab dengan apa isi hati mereka,” jelasnya lagi.
Lebih membanggakan, Tunku Ines turut menerima sokongan padu daripada nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air seperti Che Puan Sarimah Ibrahim, Che Puan Jeslina Hashim, Datuk Hattan dan ramai lagi.
“Saya ada bertanya pada Sarimah mengenai persembahan ‘live’ pertamanya. Beliau katakan ia menakutkan.
“Jadi, dia ada memberikan saya tip untuk persediaan. Saya gembira ramai yang hadir menyokong saya,” tambahnya.
Muzik Video Sarat Kreativiti
Sebagai pelajar tahun ketiga di University of Nottingham, Tunku Ines membuktikan kemampuannya menyeimbangkan antara akademik dan seni.
Dalam majlis pelancaran yang sama, beliau turut memperkenalkan muzik video Radar yang dirakam di dua lokasi eksotik iaitu Jakarta dan Pantai Goa Langsir Sawarna di Banten, Indonesia.
Menampilkan dirinya sebagai ‘Ratu Lautan’, muzik video tersebut menyerlahkan sisi kreatif beliau yang turut dibantu oleh pasukan produksi Indonesia, PT Lvcid Surya Kreatif.
Demi komitmennya terhadap dunia nyanyian, Tunku Ines juga telah menjalani latihan vokal secara konsisten bersama Cikgu Siti Hajar selama dua tahun.
Radar didengar di semua platform penstriman digital, manakala muzik videonya telah dilancarkan menerusi saluran YouTube rasmi Rocketfuel Network.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI