Filem yang mengangkat sejarah Rajah Putih pertama Sarawak, Sir James Brooke (1803-1868) berjudul Rajah bakal menemui penonton di Malaysia bermula 9 Mac depan.
Dihasilkan syarikat produksi, Margate House Films dan 852 Film dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak, naskhah itu diterajui Jonathan Rhys Meyers yang memegang watak James Brooke.
Lebih mengujakan apabila filem sentuhan pengarah, Michael Haussman itu turut menceritakan pengembaraan James Brooke sejak mula berlayar ke Borneo yang pada ketika itu masih berada di bawah kawalan kesultanan Brunei pada 1839.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Margate House Films, Rob Allyn berkata, dia mula berminat untuk menjalani penggambaran kehidupan James Brooke selepas mengenali tokoh itu melalui nota dalam sebuah novel hasil penulisan George MacDonald Fraser pada 2009.
Kemudian, Rob terjumpa buku bertajuk ‘Rajah Putih Sarawak’ yang menceritakan sejarah James Brook di sebuah kedai buku di Singapura, sekali gus menarik minatnya untuk menterjemahkannya dalam bentuk filem.
“Saya mengambil masa selama tiga tahun memikirkan untuk menghasilkan filem ini. Penulisan skrip filem ini bermula pada 2013 sejurus saya dan pasukan produksi bersetuju untuk menjadikan penceritaan ini sebagai sebuah filem,” kata Rob.
Filem Rajah menampilkan bintang hebat dari pelbagai negara seperti Atiqah Hasiholan (Indonesia), Dominic Monaghan (British), Hannah New (United Kingdom) dan Josie Ho (Hong Kong).
Selain itu, dua pelakon popular tanah air, Bront Palarae dan Shaheizy Sam turut diberi peluang untuk membantu dalam menjayakan filem berkenaan.
Bagi Bront, dia menyifatkan peluang diberikan untuk terbabit dalam pembikinan filem sejarah negeri Sarawak itu adalah pengalaman berharga buatnya.
“Saya rasa beruntung apabila terpilih untuk menggalas watak ini dan sangat senang untuk bekerjasama dengan pelakon-pelakon lain.
“Walaupun dari negara, latar belakang dan budaya berbeza, pendekatan kerja boleh dikatakan sama. Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di set penggambaran, jadi kesemua yang terbabit tidak ada masalah untuk berkomunikasi.
“Ada juga beberapa kesempatan untuk pelakon-pelakon luar mempelajari bahasa kebangsaan dan dialek dialek Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Shaheizy pula menganggap ia adalah satu pengalaman berharga biarpun senario lakonan di Sarawak menjadi cabaran utama buatnya.
“Pengalaman berlakon dalam filem Rajah sangat berbeza bagi saya kerana berada dalam suasana yang baharu. Penggambaran juga dijalankan sepenuhnya di Sarawak dan itu adalah kali pertama buat saya.
“Walaupun penggambarannya boleh dikatakan mencabar dan tidak berada dalam keadaan selesa, tetapi ia adalah pengalaman yang baik buat saya.
“Selain itu, cabarannya adalah saya perlu menggalas watak orang Melayu zaman dahulu dan menyesuaikan diri dengan bahasa serta budaya di Sarawak,” katanya.
Pembikinan filem Rajah adalah hasil pelaburan bersama antara empat negara iaitu Malaysia, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Malah, dana tunai sebanyak 30 peratus daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut disalurkan kerana pihak produksi terbabit memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran dengan kerjasama syarikat produksi tempatan.
Lokasi utama penggambaran secara keseluruhannya dijalankan di Sarawak, bermula 24 September 2019 hingga akhir Oktober pada tahun sama. Semua penggambaran dijalankan di Siniawan yang berada dalam daerah Bau, Sarawak.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini