Selepas mengumumkan persaraan daripada dunia bola sepak, ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar kini beralih ke kancah politik dan bakal bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kerusi Gurun sebagai calon Perikatan Nasional.
Bagaimanapun, penglibatan Baddrol di dalam dunia politik nyata mendapat kritikan segelintir pihak yang merasakan anak jati Sungai Petani, Kedah itu belum cukup berpengalaman.
Malah, sebelum ini, Baddrol dikecam hebat gara-gara masih belum mendedahkan mengenai menifestonya pada kempen PRN kali ini.
Bukan setakat itu, bekas pemain tengah itu juga sekali lagi dikritik selepas ramai yang mempertikaikan caranya menyampaikan ceramah ketika berkempen.
“Malangnya mereka suka yang begini. Ceramah pun macam malas sahaja,” kata seorang netizen.
Terbaharu, menerusi satu ciapan di Twitter, penyanyi rap yang kini bergelar ahli politik, Altimet turut memberikan reaksinya terhadap komen netizen tersebut.
Menurut Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, dia meminta semua pihak untuk memberi peluang buat Baddrol untuk memperkemaskan skill pengucapan awamnya memandangkan dia baru sahaja menceburi bidang politik.
“Bagi dia masa. Semua orang mula dalam keadaan kurang mahir. Berucap ni satu skill yang boleh diasah dengan berlatih,” katanya.
Katanya lagi, walaupun berbeza pandangan politik, dia tetap akan menjaga silaturahim bersama rakan-rakan politik yang lain.
“Tenang. Ukhwah saya dan Badrol duduk lebih tinggi dari retorik politik. Semoga terus cekal dan istiqomah, bro Badrul,” kongsinya lagi.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap Altimet yang mengamalkan politik matang.
“Pandangan matang dan tidak memperkecilkan sesama manusia. Steady lah.
“Bagus bro. Walau berlainan tapi kau defend dia.
“Betul, nak bercakap depan orang bukan perkara mudah. Otak kena kerja lebih laju dari mulut. Dulu saya ada stage fright, sekarang dah jadi cikgu. Nak tak nak kena juga cakap. Kena juga improve dari hari ke hari.
“Contoh terbaik yang tak mengaibkan pihak lawan. Kita boleh beza pendapat dan parti politik tapi kita tak boleh menidakkan kita manusia tak sempurna. Contohnya, Abang Altimet mahir rap. Badrol mahir main bola. Masing-masing ada kemahiran tersendiri,” antara komen-komen netizen.
Terdahulu, Altimet juga bakal bertanding di PRN bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya mewakili Pakatan Harapan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Altimet & Baddrol Bakhtiar, Twitter Altimet & @nmqlinrz