Hiburan

“Umi Saya Hilang Seluruh Daya,” – Aufahanie Mohon Henti Sebar Foto Terapung Arwah Abang Tanpa Suntingan

Share

Penyanyi, Aufahanie memohon agar orang ramai tidak berkongsi gambar atau video mayat abangnya, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang ditemui di Sungai Klang di Klang, semalam.

Menurut Aufahanie atau lebih mesra disapa Aufa, jika ada mana-mana pihak yang melihat gambar tersebut, tidak perlulah memanjangkannya di seluruh platform media sosial.

“Perkara ini saya nampak daripada kenalan sendiri juga. Malah, ada juga netizen yang kongsi foto tanpa ditapis. Saya dapat info gambar yang tidak ditapis itu ada dalam satu kumpulan chat di Telegram.

“Apa yang ada dalam group chat itu, biarlah setakat di situ sahaja. Kalau nak tengok sangat, tengok sahaja di group chat itu. Sebolehnya tak perlukan dikongsikan di media sosial untuk tatapan umum,” katanya kepada MH.

Aufahanie berkata sedemikian ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Shah Alam pada Khamis.

Pada masa sama, Aufa turut berharap agar semua pihak dapat menghormati perasaan pihak keluarga terutamanya ibunya sendiri.

“Apa perasaan kalian kalau ahli keluarga anda ditemui dalam keadaan tak bermaya dan terkujur. Lalu, semua orang tengok.

“Umi saya sudah hilang seluruh daya dan kami adik beradik perlu kuat untuk dia walaupun kami tidaklah kuat.

“Sesedih-sedih adik beradik, sedih lagi umi yang mengandung dan melahirkan dia. Umi kalau ternampak video atau gambar, apa jadi pada Umi saya. Saya minta tolong, jaga sensitiviti dan jangan sebar gambar arwah,” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut mengenai arwah abangnya, Aufa memaklumkan abangnya itu seorang yang sangat mengutamakan keluarga dan tidak mementingkan diri sendiri.

“Dalam tujuh beradik, dialah yang paling baik, rajin dan kuat semangat. Dia sentiasa meletakkan dirinya di belakang untuk mengutamakan keluarga.

“Dia akan fikir ibu bapa, adik beradik dan barulah diri dia sendiri. Dia tak pernah fikir diri sendiri. Saya sangat rapat dengan dia dan saya tahu betapa baiknya dia.

“Terima kasih untuk semua pihak yang mendoakan yang baik-baik dan sayang dekat abang walaupun tidak pernah berjumpa atau kenal. Terima kasih juga kepada pihak media yang uar-uarkan,” akhirinya.

Terdahulu media melaporkan mangsa dilaporkan hilang 7.45 petang kelmarin.

Penyanyi berusia 23 tahun itu dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam.

Bagaimanapun dompet dan telefon bimbit Nidza Afham itu ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.

Nidza Afham yang juga abang kepada penyanyi, Aufahanie pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.

Published by
Aizam Manaf