“Umur 53 Dapat Anak, Allah Nak Bagi Rezeki,” – Timang Cahaya Mata Ke-6 Selepas 12 Tahun, Datuk Awie Mahu Kenang Momen ‘Baby Boy’ Lahir Waktu PKP

Share

Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie mengakui berasa sangat teruja selepas memaklumkan isterinya telah selamat melahirkan cahaya mata lelaki tanggal 18 Januari lalu.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, bayinya itu kini berada dalam keadaan yang baik manakala isterinya pula baru sahaja habis tempoh berpantang.

“Baby alhamdulilah sihat, semuanya okay. Saya syukur semuanya baik-baik sahaja. Doakanlah semoga baby boy saya ni cergas, bijak dan comel.

“Saya harapkan semoga dia tiada sebarang gangguan kesihatan dan lain-lain masalah.

“Dia lahir pada tanggal 18 Januari lalu. Isteri saya juga dah semakin sihat. Dia dia dah habis pantang,” katanya kepada MH.

Tambah penyanyi yang sinonim dengan lagu Tragedi Oktober ini lagi, dia sangat bersyukur kerana Allah SWT masih memberikannya peluang untuk menimang cahaya mata meskipun mengakui berdepan sedikit cabaran untuk menjaga kandungan isterinya, khasnya pada situasi pendemik ini.

“Saya umur 53 dapat anak. Alhamdulillah Allah nak bagi rezeki dekat situ. Dalam PKP ni kita kurang rezeki lain dan rezeki paling besar buat saya adalah anak.

“Tugas saya sekarang untuk mendidik anak-anak kerana dia lahir dalam keadaan pendemik. Isteri saya juga paranoid pada awalnya.

“Kepayahan untuk menjaga anak-anak ketika pendemik ini akan saya kenang dalam sejarah hidup saya. Saya akan simpan sejarah ni dan nanti saya akan cerita dekat anak saya,” katanya lagi.

Awie yang juga merupakan vokalis kumpulan rock, Wings itu berkata sedemikian sewaktu ditemui ketika sesi pengambaran MHthrowback di kediamannya baru-baru ini.

Selepas hampir 12 tahun tidak menimang cahaya mata, Awie mendedahkan rutin hariannya juga telah berubah namum tetap menyifatkan ia sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

“Sara rasa enjoy sebenarnya selepas hampir 12 tahun saya tak timang cahaya mata. Bila dapat pegang tu seronok dia lain macam. Ini satu tanggungjawab yang seronok buat saya.

“Rutin dia setiap malam saya akan dodoikan anak. Saya layankan dia sampai dia terlena kemudian baru saya bagi pada isteri saya. Tiadalah yang lain sangat sebab saya memang sukak budak budak.

“Isteri saya melahirkan baby boy secara pembedahan. Sepanjang proses tersebut saya tengok. Saya tak pernah miss untuk sambut anak saya. Kesemua enam anak saya disambut oleh satu doktor. Saya tak cari doktor lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Awie dan isterinya, Datin Sharifah Ladyana mendirikan rumah tangga pada tanggal 7 Oktober 2016 dan ini merupakan anak pertama hasil perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Awie pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Arni Nazira pada tahun 1998 dan telah pun dikurniakan dua orang cahaya mata.

Selepas perkahwinan mereka gagal, Awie bernikah pula dengan Rozana Misbun yang juga merupakan adik kepada pelakon, Haliza Misbun pada tahun 2006.

Hasil perkahwinan tersebut, Awie dikurniakan pula tiga orang cahaya mata dua orang lelaki dan seorang perempuan.

Sumber: Instagram Datuk Awie & Datin Ladyana

Published by
Aizam Manaf