Pelakon Ungku Ismail Aziz memaklumkan doktor masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan pendarahan yang berterusan dalam paru-paru Nad.
Menurut Ungku Ismail, setakat ini empat doktor masih lagi memantau keadaan pelakon berkenaan.
“Buat masa ini doktor menjelaskan mereka masih belum dapat mengenal pasti punca yang menyebabkan pendarahan yang berterusan dalam paru-paru Nad.
“Tidak pasti sama ada ia berpunca dari kencing tikus atau jangkitan bakteria lain memandangkan dia tidak mempunyai simptom atau gejala yang dikaitkan,” katanya ketika ditemui di KPJ Ampang Puteri, sebentar tadi.
Ditanya mengenai keadaan semasa Nad, Ungku Ismail berkata, pendarahan masih lagi berlaku.
“Saya difahamkan, pendarahan berterusan, secara ‘on and off’. Jadi pihak doktor sedang berhempas pulas mengeluarkan darah yang berkumpul dalam paru-paru,” katanya yang mengharapkan semua pihak mendoakan yang baik-baik buat Nad.
Sementara itu pengarah Shahrulezad Mohameddin yang ditemui turut meminta semua pihak mendoakan yang terbaik yang kini sedang bertarung dengan ujian yang dihadapi.
“Kita sama-sama doakan agar Nad kembali sembuh dan semoga Allah kembalikan dia kepada kita semula. Sebagai rakan, saya terharu apabila ramai di kalangan penggiat seni turut sama hadir termasuk ahli keluarga Nad.
“Keluarga Nad juga sudah dipanggil untuk melawatnya, manakala rakan-rakan penggiat seni setia memantau perkembangannya,” katanya lagi.
Turut berada di hospital ialah bekas suaminya, Faliq Amiruddin bersama anak mereka.
Barisan penggiat seni tanah air yang hadir termasuk Sharifah Amani, Sherry Alhadad, Aliff Aziz serta isterinya Bella Astillah, Didie Alias dan ramai lagi.
Terdahulu Nad Zainal dilaporkan dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan, di sini sejak dua hari lalu susulan masalah paru-paru berdarah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI