Dengan hanya sekali lafaz, aktor tampan, Remy Ishak telah pun sah bergelar suami kepada ahli perniagaan, Ezza Yusof di Masjid Negara sekitar jam 1.30 petang tadi.
Memetik laporan BH Online, dia memanjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana telah pun memudahkan urusan akad nikahnya hari ini.
“Bermulalah fasa dan perjalanan baharu sebagai suami isteri. Doakan kebaikan dan kesejahteraan buat kami,” ucap Remy setelah majlis pernikahan selesai.
Majlis akad nikah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).
Pasangan sama cantik sama padan ini diijabkabulkan berwalikan abang pengantin perempuan, Rozman Yusof.
Bagaimanapun, difahamkan majlis ini hanya dihadiri pasangan mempelai bersama wali.
Pada majlis akad nikah yang serba ringkas ini, Ezza atau nama sebenarnya, Roszaliza Yusof menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin.
Bila ditanya mengenai soal perancangan untuk memiliki cahaya mata, ini reaksi yang diberikan oleh pelakon filem, Pulang itu;
“Saya tak kisah pun kalau orang bertanya mengenai hal ini. Saya ini merupakan seorang yang sentiasa akan berfikir 10 langkah atau 10 tahun ke hadapan. Ini semua sudah dalam perancangan saya.
“Mengenai soal anak-anak tu, sejujurnya dunia ketika ini belum lagi stabil. Ekonomi juga begitu. Segalanya masih lagi belum ada kepastian.
“Kalau ada rezeki, untuk dua tahun pertama ini, kami akan relaks dahulu. Kami rasa juga kami tak perlu terlalu memikirkan mengenai soal anak-anak.
“InsyaAllah kalau ada rezeki, diizinkan Tuhan, alhamdulliah kami akan terima. Tetapi untuk memiliki lebih daripada tiga orang anak dalam masa lima tahun ni, itu tidak mungkin akan berlaku,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak telah pun mengumumkan dirinya bakal berkahwin bersama wanita pilihan hati dalam satu sidang media yang berlangsung pada Jumaat.
Sumber: BH Online & @riseandwin.asia (Instagram)