“Untuk Saya Sendiri Lillahi Ta’ala Saya Dah Memaafkan,” – Secara Peribadi, Ini Ulas Syura Isu Kontroversi Bersama Siti Nordiana

Share

Penyanyi, Syura Badron, yang berdepan saman daripada penyanyi, Siti Nordiana bersama empat kenalan lain bersikap terbuka dan sudah memaafkan membabitkan segala kemelut di antara dia dan penyanyi berkenaan.

Syura,35, berkata kepada MH, hatinya berlapang dada untuk melupakan perkara itu meski sedia maklum untuk melupakan segala hal yang terjadi mungkin sukar.

“Rasanya untuk berbuat demikian ia memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak. Jadinya saya dan rakan-rakan sudah terbuka mengenai perkara ini. Sebab itulah kita ada mediasi dan pada sesi berkenaan pun kita sudah meluahkan segala-gala. Cuma nampaknya, kita gagal capai kata sepakat daripada kedua-dua belah pihak.

“Jadi bila tiada persetujuan dan kes itu masih berjalan, kita hanya ikut prosedur saja. Kalau kata memaafkan atau memohon maaf, untuk saya sendiri… Lillahi ta’ala saya dah memaafkan segala apa yang berlaku.

“Cuma daripada dia, saya tak tahulah macam mana kan. Tapi untuk saya sendiri, saya sudah melupakan dan move on. Jadi bila ia dibawa ke mahkamah kita tengoklah apa keputusan.

“Saya mengharapkan peminat di luar sana mendoakan yang baik-baik bukan untuk saya seorang tetapi untuk pihaknya juga. Mudah-mudahan kita dapat satu keputusan yang baik bagi kedua-dua belah pihak,” katanya.

Penyanyi lagu Nazam Berkasih ini berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Kasih 22 Hari Mesra Gelandangan Di Alka Ria, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada Selasa.

Ditanya apakah pendiriannya mengenai perkara tersebut secara peribadi, Syura akui hubungannya dan perkenalannya bersama Siti Nordiana sudah terjalin sejak usia remaja.

“Sebagai manusia siapalah kita untuk tidak memaafkan. Saya dengan dia bukannya baru (mengenali). Umur saya 13 tahun dan dia 15 tahun kalau tak silap saya, ketika itu. Lama sangat, daripada zaman budak-budak.

“Jadi bila berkawan-kawan ni ada masalah sudab tentulah memaafkan itu memang ada sentiasa di dalam hati. Cuma mungkin untuk melupakan… ia perkara personal. Untuk saya sendiri memaafkan, rasanya tiada masalah.

“Sekiranya dia (Nana) tonton video temubual ini, untuk saya sendiri dan bukan dari kawan-kawan yang lain, saya sudah memaafkan. Itu sahaja. Isu ini berterusan, kalau itulah yang terbaik kita terima dan teruskanlah,” katanya.

Terdahulu, Isu membabitkan penyanyi Siti Nordiana bersama Syura dan empat individu lain iaitu penyanyi, Lan Solo dan isterinya Nur Sheila; Pegawai Perhubungan Awam FMC Music, Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad itu bermula apabila penyanyi itu memfailkan saman berjumlah RM2.5 juta pada 3 Ogos lalu.

Dalam saman terbabit, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah.

Untuk rekod, kontroversi tercetus selepas mereka  didakwa membuat pendedahan mengejutkan berkaitan konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana menerusi sesi Instagram live pada 20 Julai lalu.

Kes saman fitnah membabitkan penyanyi Siti Nordiana dengan lima individu berkenaan bakal didengar di Mahkamah Tinggi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH