Pelakon Avaa Vanja tidak menafikan perceraian menjadi jalan terbaik buat dirinya meski mendedahkan proses yang perlu dilalui adalah bukan satu hal yang mudah.
Menurut Avaa atau nama sebenarnya, Avaa Vanja Mohamad Ramli, situasi menjadi lebih sukar di dalam perkahwinan apabila tiadanya persefahaman dengan pasangan.
“Bagi saya soal perceraian bukanlah satu proses yang mudah. Terutamanya bila kita (suami isteri) tiada persefahaman. Jadi sebab itulah kita perlu bawanya ke tengah. Akan tetapi saya percaya ada yang boleh sediakan peguam sementara sebelah pihak lagi tidak berkemampuan.
“Malah saya sendiri pernah berjumpa dengan mereka yang alami situasi sama, dia tak ada duit untuk sediakan peguam. Akan tetapi sekiranya kita melihat kepada bukti-bukti yang ada, ia kukuh dan mungkin akan menyebelahinya. Disebabkan tiada peguam, dia pula yang teranaiya.
“Untuk kes saya, saya bersyukur kerana kita tahu mengenai hukum hakam Islam. Bagi pihak saya, tidak mengapa memandangkan kita tiada persefahaman lagi biarlah mahkamah yang menentukan. Kita ada undang-undang dalam Islam. Yang penting bagi pihak saya adalah akidah,” katanya.
Terdahulu, ibu kepada seorang cahaya mata ini ditemui media pada sidang media pelancaran filem Gadis Jolobu The Movie di KL Jazz & Arts Centre (KLJAC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Avaa lagi, dia kini memilih untuk menjalani kehidupan sendiri bersama anaknya selepas kira-kira 11 tahun melayari bahtera perhawinan bersama bekas suami, Aamil Sulaiman.
“Ia bermula sejak kes polis yang sudah sedia maklum. Jadi saya ambil keputusanlah. Tidak sihat untuk anak membesar dengan perhubungan seperti ini. Untuk dia (anak) melihat benda-benda yang tidak bagus, membuat saya untuk ‘stand up’. Sebab kita pun bukannya muda lagi.
“Meski saya tidak bertudung tapi masih ingat pada Allah SWT. Itu yang menguatkan diri seterusnya mendorong kita untuk melakukan sesuatu. Sebab cerai ni bukannya senang,” katanya lagi.
“Boleh dikatakan, pada lima tahun perkahwinan ia agak sukar. Kita jumpa (kenal) pun awal dan kemudiannya berkahwin. Dia pula kena sambung pengajian ke luar negara lebih kurang tiga tahun. Saya sendiri, hamil pun sendiri.
“Ketika usia anak kira-kira dua tahun setengah, baru dia di tanah air. Jadi bila tinggal serumah tu… alamak, ia dua budaya yang berbeza. Saya ni jenis yang fleksibel, ikut rentak. Cuma lama kelamaan itu, tahap kesabaran itu agak lama.
“Untuk seorang wanita bertahan selama 11 tahun (usia perkahwinan)…tahap kesabaran itu sangat sabar. Kita ‘meletup’ dan saya bulatkan hati untuk buat keputusan,” katanya yang turut menasihatkan wanita untuk pendapat dan bantuan sekiranya mengalami masalah di dalam perkahwinan.
Terdahulu, Avaa yang menfailkan tuntutan fasakh dan hadhanah (hak penjagaan anak) pada Disember tahun lalu dan akhirnya bercerai talak satu dengan Aamil yang juga seorang pemuzik.
Ketika itu, Avaa diberikan hak penjagaan sementara buat satu-satunya cahaya mata tunggal mereka, Merlissa, 10.
Pada Oktober tahun lalu, Avaa juga ada membuat laporan polis mendakwa dirinya dan anak berdepan penderaan domestik.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.