Penyanyi, Syada Amzah mengakui video ucapan khas yang dimuat naik di media sosial sempena ulang tahun kelahiran kakaknya yang juga merupakan penyanyi terkenal, Shila Amzah dibuat atas dasar rindu.
Menurut Syada atau nama penuhnya Nursyuhada Amir Amzah, 26, video tersebut hanyalah ucapan normal yang sering dia lakukan buat setiap adik-beradik dan kenalan rapat.
“Kami semua rindukan dia. Sebagai adik beradik, perasaan rindu itu memang biasa. Walau baru lepas jumpa, bila balik sahaja kita sudah rindu. Lumrah darah daging.
“Video ucapan tersebut tiada apa-apa makna dan bukan untuk orang luar jadikan isu. Ia hanyalah ucapan untuk kakak saya sendiri. Itu juga cara saya menunjukkan tanda penghargaan. Tidak lebih daripada itu.
“Saya ada banyak video ahli keluarga dan rakan-rakan baik saya di telefon. Saya suka buat video sebegitu bila tiba hari jadi orang mereka. Bezanya sama ada saya kongsi di media sosial atau hantar terus ke Whatsapp,” katanya kepada MH.
Syada berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perlancaran album terbaharu penyanyi Amir Jahari yang berjudul Kembali yang diadaka di The Flint KL, The Curve, Petaling Jaya pada Rabu.
Katanya lagi, perkongsian video tersebut sekaligus membuktikan hubungannya dengan pelantun lagu Patah Seribu itu masih baik dan mereka masih berkomunikasi sehingga hari ini.
“Saya ada dapat mesej balas daripada Shila. Kami memang saling berhubung. Cuma video tersebut ibarat hadiah selain daripada ucapan panjang lebar.
“Kami memang tiada masalah. Bila orang menganggap hantaran tersebut sebagai sesuatu yang negatif, pada saya, tak mengapalah. Orang luar tak tahu apa yang berlaku dan mereka memang tak perlu tahu,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan hantaran tersebut mempunyai maksud tersirat seperti ingin meminta bantuan kewangan, Syada menggesa individu terbabit tampil menunjukkan bukti.
“Sehingga kini, tiada siapapun yang datang berjumpa dan tunjukkan bukti tentang dakwaan mereka itu. Mereka hanya buat spekulasi. Saya tak boleh nak halang dan kawal.
“Saya tak ambil pusing pun apa yang mereka kata. Itu bukan masalah saya. Saya tak buat apa-apun, orang luar akan tetap bercakap,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia mengakui sudah hampir setahun tidak bertemu dengan kakaknya termasuk anak kedua Shila iaitu Rhea Akira yang baru dilahirkan pada Mei lalu.
“Setakat ini sudah setahun tak bertemu, kali terakhir adalah pada hari perkahwinan kakak iaitu Ogos tahun lalu.
“Saya juga belum berkesempatan jumpa anak buah sebab jadual sangat padat dan masa kami selalu bertembung,” jelasnya.
Terdahulu, Syada menuai perhatian ramai apabila memuatnaik sebuah video ucapan hari lahir yang menggabungkan koleksi gambar dan video bersama Shila.
Perkongsian tersebut seterusnya mengundang pelbagai reaksi netizen sehingga ada yang mendakwa dia masih ditanggung Shila dari segi kewangan.
Sekitar tahun lalu, Shila terjebak dengan konflik bersama ibunya, Fauziah Sarman, Syada dan abangnya, Amir Syafiq berkenaan isu penjualan rumah banglo di Hulu Langat.
Sementara pada April lalu, Shila yang ketika itu hamil anak kedua memberitahu belum bersedia untuk bertemu ibunya bagi mengelak sebarang gangguan emosi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Syada Amzah