Adik kepada pelakon Uqasha Senrose, Raysha Rizrose menyatakan rasa sebak selepas kakaknya itu telah pun selamat dirisik, hari ini.
Menerusi majlis yang dilangsungkan di sebuah hotel terkemuka dengan dihadiri ahli keluarga kedua-dua belah pihak, Uqasha Senrose, 29, dirisik kekasihnya juga pelakon, Kamal Adli, 35.
Raysha, 25, turut sebak dan dalam masa sama gembira apabila kakaknya bakal melangkah ke alam perkahwinan.
“Kamal bersama ibu bapa dan keluarganya baru datang merisik. Belum bertunang lagi. Sebagai adik, alhamdulillah, satu langkah sudah selesai.
“Sebelum ini hanya persiapan saja, apabila sudah merisik dan bakal ke fasa seterusnya, sudah tentu membuatkan saya sebak dan dalam masa sama gembira.
“Harapnya semua yang dirancang berjalan lancar. Mereka buat banyak majlis nanti, jadi kami siap sedialah akan sibuk,” katanya.
Juara Dewi Remaja 2015 turut mendedahkan, kegembiran pada wajah kakak tersayang jelas terpancar sejak menjalin hubungan dengan Kamal.
“Sebelum ini kakak melalui banyak dugaan bercinta. Apabila dia sudah jumpa jodoh sebenar, saya gembira tengok dia.
“Malah, memang jelas kelihatan wajah kegembiraan kakak apabila dengan Kamal. Dia juga sudah bersedia untuk menjadi isteri dan melayari bahtera perkahwinan,” katanya.
Terdahulu, Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha sewaktu tampil berpasangan menjadi penyampai pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) pada Disember tahun lalu.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI