Pelakon jelita, Uqasha Senrose memaklumkan dirinya bakal menunaikan Umrah, 26 Disember depan.
Katanya kepada MH, dia bakal menjejakkan kaki ke tanah suci bersama ahli keluarganya yang lain, termasuk Nelydia dan Raysha Rizrose.
Menyifatkan pemergiaannya ke sana untuk mendekatkan diri denganNya, Uqasha nyata tidak dapat menyembunyi rasa gembira tetapi gementar pada masa sama.
Apatah lagi, ia merupakan umrah yang pertama buatnya.
“Agak gementar juga tetapi gembira pada masa sama. Jujurnya, Mama yang kuatkan semangat dan keyakinan saya untuk ke sana.
“Yelah, kita semua bukanlah sempurna. Apapun, saya berdoa agar semuanya dipermudahkan, insyaAllah,” katanya ketika ditemui di sesi penggambaran drama bersiri, Spanar Jaya X, di Sri Pentas, Bandar Utama.
Ditanya mengenai apakah doa yang dipinta di hadapan kaabah nanti, bintang berusia 26 tahun itu memberitahu, dia mahu berdoa agar menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.
“Sudah tentu saya ingin panjatkan doa doa agar menjadi insan yang lebih baik juga diberikan kesihatan dan sentiasa dilimpahkan rezeki, insyaAllah.
“Pada masa sama, saya ingin berdoa semoga ditemukan dengan insan yang baik,” jelas pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen.