Pelakon Uqasha Senrose meluahkan rasa syukur dan teruja kerana bakal menunaikan umrah pada 23 Disember depan bersama suaminya Kamal Adli sebelum merancang untuk berbulan madu selepas itu.
Menurut Uqasha, tujuannya berangkat ke tanah suci Makkah buat kali ketiga adalah bagi merealisasikan hajat Kamal yang pertama kali mengerjakan ibadah tersebut.
“Pertama kali saya mengerjakan umrah sebelum menjalani penggambaran drama bersiri, Selepas Terlafaznya Akad bergandingan dengan Kamal. Cuma ketika itu, hubungan kami tak lebih sebagai rakan artis sahaja.
“Kemudian ketika kami berkampung di Melaka selama lima bulan, alhamdulillah drama tersebut meletop dan selepas itu saya sekali lagi ke tanah suci bersama keluarga.
“Pada masa itulah, kami sedang mengenali hati budi dan berdoa di depan Kaabah. Doa saya, sekiranya benar Ahmad Kamal Ahmad Adli adalah jodohku, Kau panjangkanlah jodoh kami dan jika sebaliknya, Kau pisahkan kami cara baik.
“Alhamdulillah jodoh kami berterusan dan kerana itulah sebabnya saya berhajat untuk buat umrah sekali lagi demi memanjatkan kesyukuran atas doa jodoh yang dimakbulkanNya,” katanya.
Sementara itu, Kamal turut sama teruja dan tidak sabar untuk sama-sama ke tanah suci bersama isteri tersayang.
“Ini pengalaman pertama saya buat umrah dan kami akan membawa bersama iringan-iringan doa yang baik-baik untuk kami berdua. Sudah semestinya saya tambah seronok sebab pergi tunai ibadah bersama-sama isteri. Doakan moga semuanya dipermudahkan,” katanya.
Ditanya mengenai soal zuriat, pasangan ini mahu empat cahaya mata jika diizinkan.
Malah kakak kepada Nelydia Senrose tidak menolak sekiranya dikurniakan cahaya mata awal.
“Sejujurnya saya bersedia sekiranya ada rezeki hamil dalam masa terdekat. Hal macam ni, sebaiknya tidak perlulah dirancang.
“Kalau ada (rezeki anak), adalah. Kalau boleh menurut Kamal, dia gembira sekiranya kami mempunyai empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan,” katanya.
Terdahulu, pasangan selebriti ini mengumumkan mengenai pernikahan mereka dalam satu sidang media yang De.Wan 1958, Kuala Lumpur pada Selasa.
Majlis dilangsungkan di dalam sebuah majlis pernikahan tertutup pada 5 November lalu.
Pasangan selebriti popular ini mengikat tali pertunangan pada April lalu dalam majlis tertutup di sebuah hotel di ibu negara.
Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara langsung pada siaran Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) yang berlangsung Disember tahun lalu.
Detik bersejarah penyatuan dua bintang ini juga bakal diabadikan menerusi paparan tiga buah episod istimewa dalam program ‘Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose’ yang akan disiarkan secara eksklusif pada 11, 18 dan 25 Disember 2021 jam 9.00 malam.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.