Meski masih meneruskan rawatan sebagai ikhtiar bagi mengesan mengesan penyakit misteri yang dihidapi sejak tahun lalu, pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias mendedahkan dia bakal terlibat di dalam sebuah filem biografi bulan hadapan.
Terus bersemangat dan optimis di dalam meneruskan usaha dakwah, Ustaz Kazim,49, menyifatkan setiap ujian yang datang pasti ada hikmah.
“Allah SWT ‘bagi’ saya sakit macam-macam sebab Dia nak berikan hikmah lain. Itu yang merawat hati saya dan saya bersangka baik. Saya anggap dosa saya banyak, jadi ini suatu perkara yang menghapuskan dosa.
“Ada orang tanya, ustaz sakit dalam tiga empat bulan ni, apa benda yang Allah berikan pada pada ustaz. Saya dapat tawaran berlakon filem, jadi hero. Yang mana ia sebuah filem biografi tentang saya,” katanya.
Ustaz Kazim memaklumkan berita gembira itu ketika ditemui pada majlis pelancaran perisa baharu Susu Kambing Faa-iz di Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF), Kedah, baru-baru ini.
Turut dianjurkan di dalam program sama ialah Forum Perdana Israk Mikraj.
Beliau bagaimanapun belum boleh berkongsi secara terperinci mengenai butiran filem yang dijangka menjalani penggambaran dalam tempoh terdekat itu.
“Saya bersyukur pada Allah SWT. Rasanya setakat ini di Malaysia, cerita yang pertama tentang ustaz. Kehidupannya sejak kecil sehinggalah sekarang.
“Pengarahnya biarlah rahsia dulu, insyaAllah bila ada majlis pelancaran pada Mac nanti pihak terbabit akan kongsikan.
“Setakat ini saya sudah buat skrip, pihak mereka juga sudah hantar pada saya sinopsisnya. Tinggal lagi untuk memulakan penggambarannya sahaja, insyaAllah,” katanya lagi.
Sementara itu, pelancaran tiga perisa baharu Susu Kambing premium berkenaan dilihat mampu mewujudkan ekosistem janaan ekonomi serampang dua mata.
Menurut Pengerusi KIDaF, Ustaz Haji Jafri Abu Bakar@Mahmud, susu berkenaan awalnya dilancar tanpa perisa khusus selama setahun.
“Menerusi anak syarikat Al-Faizin Marketing, kita bermula dengan susu Faa-iz biasa tanpa perisa sehingga pada suatu ketika kami merasakan ada keperluan untuk mengeluarkan susu berperisa.
“Jadi tiga perisa yang kita lancarkan adalah coklat, vanilla dan strawberi, terhasil daripada kajian secara rambang ke atas pengguna dan pengedar susu Faa-iz,” katanya.
Berpandangan jauh, Ustaz Jafri turut memikirkan alternatif lain bagi meneruskan operasi madrasah serta pendidikan para pelajar yang menghafaz al-quran di Darul Faizin agar tidak hanya bergantung dengan sumbangan ramai semata-mara.
Cara terbaik adalah dengan memulakan perniagaan memandangkan KIDaF tidak mengenakan yuran kepada pelajar.
“Demi kelangsungan operasi dan selepas berbincang, kami merasakan minuman susu adalah paling sesuai dan susu yang terbaik adalah susu kambing sebab mungkin ada yang tidak tahu akan kelebihan susu kambing sebagai ‘Miracle Food’.
“Jadi sesiapa yang membeli barangan menerusi syarikat ini (Al-Faizin Marketing) secara tidak langsung turut menyumbang kepada pembangunan dan pengurusan KIDaF.
“Ia sememangnya milik madrasah, sekali gus membezakan antara perniagaan yang dibangunkan oleh individu yang meletakkan peratusan ke atas sumbangan berbanding Al-Faizin Marketing yang dibangunkan oleh KIDaF,” katanya lagi.
Produk susu kambing yang diformulasi menggunakan bahan-bahan premium seperti beras perang, ginko biloba, garam bukit serta kurma yang mampu membekalkan tenaga ini boleh dimiliki dengan harga RM45.00 sekotak dan RM39.90 sekiranya mendaftar sebagai ahli.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.