Vicha Kongsi Situasi Hidup Sebagai Ibu Tunggal, Berhati-Hati Kenali Lelaki – “Pasti Mahu Yang Boleh Terima Saya Dan Anak-Anak.”

Share

Tidak dinafikan, bukan satu perkara mudah bagi setiap individu yang sudah berkahwin namun terpalit dengan situasi kegagalan dalam rumah tangga selepas itu.

Berkongsi mengenai hal berkaitan, pelawak dan pelakon, Vicha Saywho baru-baru ini telah diundang sebagai tetamu menerusi bual bicara Wanita Hari Ini, di TV3 mengupas soal ‘Hidup Berpasangan Atau Sendiri Lebih Baik?’

Kini bergelar ibu tunggal, Vicha berkata ada ketika dia tidak nafikan rasa sunyi dan teringin memiliki pasangan hidup.

“Sebenarnya, jauh di sudut kecil hati saya tidak mahu hidup bersendirian dan teringin nak ada pasangan. Itu adalah normal bagi rasa dalam hati seseorang.

“Tapi, bila kita sudah pernah ada pengalaman sebelum ini yang menjadi satu pengajaran untuk diri kita sudah pasti kita akan jadi lagi lebih berhati-hati untuk mengenali orang baru,” katanya jujur.

Vicha menambah, jika diizinkan dia dambakan seorang lelaki yang boleh menerima diri serta anak-anak.

“Macam saya sudah dikurniakan tiga anak, sudah pasti saya mahukan seseorang yang boleh terima saya dan anak-anak saya, bukan terima saya seorang sahaja.

“Kalau macam ada orang yang mahu berkenalan, saya akan tengok dulu dia macam mana dan tidak akan secepat itu untuk terus berkahwin.

“Sekarang ni, bila orang kata dia sayang dekat kita, dia kena terima kelebihan dan kekurangan diri kita. Jadi, saya lebih teliti untuk kenal dengan orang,” kata bintang berusia 33 tahun ini lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Vicha Saywho

Published by
Nazar Rafiqhi