Selebriti dan usahawan, Tya Arifin menafikan video yang tular membabitkan dirinya baru-baru ini sebagai salah satu taktik pemasaran bagi memperkenalkan produk baharu keluaran syarikatnya.
Menurut Tya atau nama sebenar Nurtia Wulandari, 28, dia enggan menuding jari kepada mana-mana pihak berikutan kebocoran video promosi tersebut sebaliknya menganggap mungkin individu berkenaan mempunyai niat baik di sebalik perkara yang berlaku.
“Tak ada (marketing) sebab produk kita memang dah rancang lama dan kita pun sudah ada tarikh untuk melancarkan produk itu.
“Saya nak salahkan siapa pun tak tahu! Saya tak rasa nak tonjolkan perkara itu secara berlebihan. Lama-lama pun orang akan tahu macam mana sebenarnya.
“Saya faham mungkin niat dia tak jahat tapi dengan rakaman tersebut membuatkan spekulasi orang itu jadi berbeza.
“Ada orang berfikiran negatif tapi ramai juga orang yang berfikiran positif. Saya hanya fokus pada orang yang positif,” katanya kepada MH.
Tya ditemui pada majlis sidang media program bual bicara, Next to Neelofa 2 di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Mengambil pengajaran daripada kontroversi berkenaan, Tya berkata selepas ini dia dan pasukannya akan lebih memperketatkan prosedur melibatkan rakaman bagi pemasaran mana-mana produk keluarannya.
“Mungkin selepas ini saya akan pastikan untuk (mana-mana pihak) tidak post sebarangan, minta tunggu yang rasmi dahulu dan mungkin SOP itu akan lebih diperketatkan,” katanya lagi.
Terdahulu, rakaman video di sebalik tabir ketika Tya sedang menjalani penggambaran untuk mempromosikan produk kecantikan keluaran syarikatnya menjadi tular.
Menerusi video berkenaan, rata-rata netizen menyifatkan aksi Tya berbaring di atas katil dianggap keterlaluan dan tidak sesuai dengan imejnya yang berhijab.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI