Nama penyanyi cilik, Tantari menjadi sorotan apabila lagu Rindu Hatiku Rindu nyanyiannya menjadi trending dengan berjuta tontonan yang diraih menerusi YouTube sejak ia dimuat naik hampir sebulan lalu.
Baru berusia enam tahun, Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian sebelum ini mula mendapat perhatian apabila video persembahan dia menyanyikanlagu popular 90’an,Cinta Melankolia telah dikongsi ke akaun TikTok LoyyGoji sehingga menarik lebih 300,000 tanda suka (likes).
Atas nama rezeki, Tantari juga dilamar oleh Molek fm dengan kerjasama Nova Music untuk merakam lagu sulung, Rindu Hatiku Rindu, ciptaan komposer Eddie Hamid manakala liriknya dihasilkan oleh Jaju dan Hakim Hakimi.
Dilancarkan pada 15 Februari lalu, lagu tersebut mengimbau kembali melodinya yang seakan lagu era 90-an dan turut jadi trending di YouTube TikTok.
Menurut Eddie, pertama kali menonton video tular Tantari menyanyi, dia terus tertarik dan tahu lenggok lagu yang macam mana penyanyi cilik itu sesuai bawakan.
“Saya lihat kelebihan Tantari terletak pada suaranya yang unik yang sesuai membawa lenggok lagu era 90-an. Kita juga perlu ketengahkan kanak-kanak yang berbakat sebagai pelapis penyanyi sedia ada.
“Walaupun dia masih kanak-kanak tapi saya tak ada masalah sewaktu membuat kerja-kerja rakaman di Studio NAR. Di studio, kami hanya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk siapkan rakaman,” kata Eddie.
Dia pada masa sama tak menyangka lagu Rindu Hatiku Rindu akan menjadi tular dan mendapat sambutan luar biasa.
Menurut bapanya, Mohd Alfian Othman, bakat nyanyian anaknya itu dikesan sejak dia berusia dua tahun lagi dan lagu pertama yang dia nyanyikan di hadapan keluarga ialah lagu 60-an iaitu Oh Fatimah.
“Tantari mula berani menyanyi di hadapan orang ramai sewaktu berumur enam tahun apabila dia menyertai pertandingan nyanyian ‘Idola Kecil’ mula-mulanya di peringkat pra-sekolah, kemudian ke peringkat daerah dan seterusnya mewakili negeri Selangor. Untuk ketiga-tiga peringkat ini, dia mendapat tempat pertama.
“Sebagai bapa, saya bersyukur sebab ramai yang suka dengan nyanyian Tantari. Kalau ikutkan, saya ni tak adalah suka menyanyi lagu rock kapak, ada lagu-lagu tertentu saja. Tantari suka menyanyi lagu berjiwa rock disebabkan saya ada bekalkan sound system di rumah orang kahwin,” katanya yang tidak fikir panjang apabila mendapat tawaran Eddie Hamid untuk merakan lagu buat anak sulungnya itu.
“Saya terus terima sebab saya berani katakan yang anak saya mampu buat dan alhamdulillah diizin Allah dan sekarang inilah hasilnya. Dari sentuhan terbaik komposer terkenal Eddie Hamid, Alhamdulillah.
“Sewaktu dalam studio, Tantari tak mengambil masa lama untuk rakaman kerana pihak Nova Music mahu terbitkan lagu itu dalam had waktu yang diberikan,” katanya.
Malah, Tantari juga tidak mengikuti kelas vokal sebelum menjalani proses rakaman kerana semua persediaan dilakukan di rumah sahaja.
“Saya tak hantar dia ke kelas vokal sebab kami bukan dari keluarga senang nak hantar ke kelas vokal atau kelas muzik yang menelan belanja besar. Dia hanya kerap buat latihan di rumah dan disamping itu, kita menjaga waktu rehat, pemakanan dan kesihatannya.
“Antara pelajaran dan seni, sejujurnya kami seimbangkan keduanya sebab pelajaran penting termasuk ilmu agama yang perlu dititikberatkan. Dari segi penglibatan dia dalam aktiviti seni, minat dan bakat perlu ada.
“Pada saya, bakat yang ada pada dia adalah anugerah daripada Allah, jadi kita gunalah sebaiknya. Apa yang kita dapat semuanya adalah pemberian daripada Allah dan yang penting kita guna ke arah kebaikan,” tambahnya lagi.
Rindu Hatiku Rindu nyanyian Tantari kini boleh didengar di semua pelantar penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music dan video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi seeNI sekarang!
Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan membidas seterusnya meminta supaya peminat tidak terpedaya dengan individu tidak bertanggungjawab yang didakwa telah menggunakan imejnya untuk melariskan produk jualan mereka.
Menerusi akaun Instagram, Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta menjelaskan, dia tidak terbabit dengan mana-mana perniagaan produk kurus sebagaimana yang didakwa.
“‘Syaiton’ mana yang menipu sangat ni? Minta perhatian! Kami tak pernah minum jus beruk ni pun untuk kurus!
“Jus korang tak laku, sampai terpaksa menipu, nak sentil gambaq (gambar aku)!,” tulisnya pada ruangan kapsyen di entri berkaitan.
Che Ta pada masa sama mengingatkan supaya tak mudah tertipu dengan iklan palsu produk yang menggunakan selebriti, selagi selebriti berkenaan tidak memuat naiknya sendiri.
“Kalau artis tu sendiri tak post produk yang dia guna, you alla jangan tertipu tau dengan produk-produk tak laku yang sampai terpaksa menipu!
“Video kami ni tengah bercerita pasal produk kami sendiri, depa edit depa promot produk depa! Caqi (cari) makan caqa (cara) keji sangat nih,” luahnya di Insta Stories juga.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi seeNI sekarang!
Bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, pihak Awesome TV sekali lagi menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) dalam memperluaskan usaha menyantuni komuniti yang kurang bernasib.
Golongan sasaran itu termasuklah golongan anak yatim, asnaf, ibu tunggal, OKU, warga emas, orang buta serta pesakit dialisis menerusi perlaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Ihsan Kita’.
Liputan aktiviti kemasyarakatan itu turut menyaksikan penglibatan selebriti popular seperti Izzue Islam, Fimie Don, Mamak Puteh, Nizam Jentik-Jentik, Harris Alif, Danny Soda, Justin Ang dan Kamalia Jamaludin.
Ia boleh disaksikan menerusi lapan buah episod khas yang bakal ditayangkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 6.00 petang secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula 1 April lalu.
Bagi menjayakan inisiatif amal tersebut, pihak KAPB dengan berbesar hati memperuntukkan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 untuk diagihkan kepada lapan buah badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih.
Lapan badan kebajikan itu adalah Yayasan Orang Buta Malaysia (Brickfields), Rumah Perlindungan Al-Nasuha (Gombak), Rumah Titian Kaseh (Titiwangsa), Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia (Keramat), Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah (Rawang), Yayasan Chow Kit (Kuala Lumpur), Yayasan Islam Darul Ehsan @ Pusat Dialisis MAIS (Kuala Selangor) dan Yayasan Budi Ihsan Malaysia (Putrajaya).
Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zali menyifatkan Ramadan paling dinantikan pihaknya kerana berpeluang meningkatkan lagi amalan menerusi pelbagai bentuk pengisian bermakna dan memperkukuhkan ukhuwah.
“Selaku stesen televisyen yang prihatin, pihak Awesome TV memainkan peranan besar dalam mengambil langkah proaktif untuk menyokong sebarang usaha murni yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat di luar sana.
“Inisiatif penerbitan program seperti ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk mendekati dan berbakti kepada masyarakat yang dilihat menepati simbolik tema kempen Ramadan kami tahun ini iaitu ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya.’
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak terlibat di atas kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program amal ini. Kami menghargai kesungguhan dan komitmen syarikat korporat seperti KAPB yang wajar dicontohi oleh semua.
“Besar harapan kami agar kerjasama murni ini dapat dipanjangkan lagi untuk tahun-tahun yang seterusnya,” katanya.
KAPB adalah sebuah syarikat koperasi pelaburan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Setiap pelaburan yang dibuat oleh KAPB juga patuh Syariah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi seeNI sekarang!
Konsert minggu pertama One In A Million (OIAM) yang bersiaran secara langsung dari Studio NTV7, Shah Alam pada Ahad menyaksikan saingan daripada 20 peserta terbaik.