Hiburan

Video Sedih Bukan Tuju Pada Sesiapa, Man Reda Sepahtu Lebih Memilih Tik Tokers

Share

Baru-baru ini, tular sepotong video di aplikasi Tik Tok yang memaparkan pelawak Man Pos seakan-akan meluahkan isi hatinya.

Video berkenaan mendapat perhatian ramai dan ada yang menganggap Man seakan kecewa kerana tidak dipilih untuk terlibat di dalam program sitkom popular, Sepahtu Reunion Live musim ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Man memaklumkan dirinya memang ada meletakkan harapan namun, dia akui Sepahtu berhak membuat penilaian sendiri.

“Ramai yang minta saya bersabar dan katanya mereka tahu saya nak tujukan video itu kepada siapa. Saya pun pelik kerana video tersebut dibuat secara rawak sahaja.

“Rupanya mereka kaitkan video tersebut dengan program Sepahtu Reunion Live.

“Bagi saya, Sepahtu ada penilaian mereka sendiri walaupun mereka kerap mengusik dan mengatakan saya bakal menjadi ahli tetap.

“Selepas mereka kata sebegitu, saya pun dah berangan-angan. Mesti seronok dapat sertai mereka setiap minggu dan saya boleh kembangkan bakat serta idea untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya kepada MH.

Juara Raja Lawak musim ke-5 itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Zim Zim Ala Kazim, baru-baru ini.

Pada masa sama, Man akur dengan keputusan Sepahtu yang lebih memilih beberapa orang Tik Tokers untuk terlibat dengan program mereka musim ini.

“Bila mereka mengambil empat orang Tik Tokers, ada pula yang kata, apa salahnya mereka selitkan nama saya seorang. Padahal nama saya sudah selalu disebut-sebut.

“Pada saya, rezeki sudah tertulis sebegitu. Takkanlah kita nak paksa orang. Kalau mereka rasa cara begitu lebih baik, teruskan sahaja.

“Saya akui memang meletakkan harapan untuk sertai Sepahtu. Nama mereka sudah besar. Dulu kita ada Senario, kini ada Sepahtu.

“Kalau saya sertai Sepahtu, tawaran kerja tidak akan terhenti di situ sahaja. Ia secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada dia pernah berbincang secara peribadi bersama kumpulan Sepahtu untuk menyertai program mereka, Man memaklumkan dirinya percaya dengan aturan Allah SWT.

“Saya bukanlah ego tapi ada harga diri. Kalau berjumpa, kita borak seperti biasa. Kalau mereka buat diam, takkan saya nak tanya pula. Saya ni juara Maharaja Lawak 2019 dan Raja Lawak 2005.

“Bila Allah nak bagi kita sesuatu perkara, itu adalah benda baik. Kalau Allah tak bagi, itu bermakna Dia nak bagi hal yang lebih baik.

“Saya reda dan positif. Video yang saya buat itu sekadar konten sahaja. Kalau berkait pun hanya kebetulan sahaja,” akhirinya.

Terdahulu, Man merupakan salah seorang pelakon yang membintangi filem terbaharu arahan Asmawi Ani yang berjudul Zim Zim Ala Kazim.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf