Bakal menjalani pembedahan tulang belakang pada awal November ini, penyanyi Zamani Ibrahim, 51, dilihat masih lagi aktif memenuhi undangan persembahan yang diterimanya.
Terbaharu, vokalis kumpulan Slam itu diundang menjayakan persembahan di Pesta Orkid, Dataran Rompin, Pahang yang diadakan pada Isnin lalu.
Menerusi satu video yang tular di TikTok, ia mengundang rasa sebak di kalangan peminat Zamani apabila menyaksikan penyanyi itu sukar untuk turun dari pentas sebaik selesai membuat persembahan sehingga terpaksa didukung.
Rata-rata peminat yang melihat rakaman itu melahirkan perasaan sedih dan sebak malah turut mendoakan agar pembedahan yang bakal dilalui Zamani nanti berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.
@azuraudanggalah Sedih lihat keadaan Zamani sewaktu habis show malam tadi di dataran Rompin.. kebetulan aku ada kt situ dan sempat lh rakam.. nk ajak selfie dh tk sampai hati tgk keadaan dia..semuga diangkat segala kesakitan dan diberi kesembuhan kepada Zamani..#Allahu #sebak #zamanislam_official ♬ Gerimis Mengundang – Album Version – Slam
“Kebetulan saya ada di situ dan sempatlah rakam. Nak ajak selfie tak sampai hati tengok keadaan dia. Semoga diangkat segala kesakitan dan diberi kesembuhan kepada Zamani,” ujar pemilik video berkenaan, @azuraudanggalah.
“Allahuakbar. Ya Allah berilah dia kekuatan dan permudahkan segala urusan buatnya. Amin.
“Sedih lihat keadaan Zamani sewaktu habis show malam tadi (Isnin) di Dataran Rompin.
“Orang yang sakit tulang belakang sahaja tahu macam mana rasa dia. Saya yang bengkok sikit pun orang nampak jalan kita tak betul, lagikan Zamani,” komen beberapa netizen.
Zamani dijadualkan menjalani pembedahan pada awal November depan akibat masalah tulang belakang melengkung atau skoliosis yang dideritanya sejak 2019.
Penyanyi itu sempat mengadakan konsert solo, Konsert Doa Buat Zamani Unplugged pada 30 September lalu dan terakhir pada hujung bulan ini bersama beberapa artis lain di Istana Budaya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.