Penyanyi Nora Ariffin yang kini sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah berkongsi pengalaman manisnya di sana.
Menerusi entri di laman Instagram, Nora ada mengucapkan rasa syukur apabila segalanya dipermudahkan untuknya menunaikan ibadah di sana.
“Alhamdulillah syukur. Sesiapa yang pernah datang ke Madinah, pasti tahu kemuncakkan adalah menjejakkan kaki ke Raudhah.
“Saya dan jemaah lain baru selesai dan pertama kalinya saya dapat solat hajat panjang, solat taubat dan doa dengan panjang, malah dapat sebut sebahagian doa yang dikirimkan pada saya.
“Semua yang pernah ke sini pasti tahu situasi sebenar kat sini. Bukan mudah. Kali ini saya dan semua jemaah lain berpeluang solat hajat, solat taubat dan berdoa sebanyak yang mungkin dengan penuh tenang walaupun dalam keadaan orang yang berasak-asak.
“Saya bersyukur dapat laksanakan doa itu di Raudhah bersama jemaah lain juga. Ini adalah pengalaman yang sangat istimewa. Terima kasih,” kongsinya.
Sebelum ini, Nora berangkat mengerjakan ibadah umrah hasil tajaan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida.
Dalam pada itu, Nora juga sempat meluahkan perasaan sayu di laman Instagramnya sebelum berangkat kerana menunaikan umrah seorang diri tanpa arwah suaminya, Johan Nawawi.
Foto/Instagram: Nora Ariffin