Pemenang tempat kedua Hero Remaja 2021, Aqil Taqeeudin mendedahkan dia sendiri tidak menyangka persembahannya pada malam finale mampu mengejutkan ramai pihak sekali gus menempatkan dirinya sebagai dua finalis terbaik.
Menurut Aqil, pada awalnya dia hanya menyasarkan untuk memenangi tempat ketiga atau keempat memandangkan persaingan sengit diantara finalis Mierul Aiman dan Fazziq Muqris sering disebut-sebut sebagai peserta pilihan untuk memenangi gelaran juara bagi edisi ke-11 itu.
Katanya lagi, dia sangat berpuas hati dengan persembahannya pada malam tersebut dan kerana itu, tiada sebab baginya untuk berasa ralat atau kecewa.
“Saya sebenarnya sendiri tak jangka yang saya akan mendapat tempat kedua. Pada awalnya saya hanya menyasarkan tempat ketiga atau keempat. Itupun saya dah bersyukur sangat.
“Bila saya dapat beri yang terbaik pada malam final tu, saya pun terkejut juga. Saya sangat berpuas hati ditempat kedua. Tiada langsung perasaan ralat atau menyesal.
“Saya sendiri sedar Mierul merupakan seorang yang sangat berbakat. Persembahan dia pun konsisten daripada minggu pertama hingga ke semi final,” katanya kepada MH.
Anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Finale Hero Remaja yang berlangsung pada Isnin di pejabat Nu Ideaktiv, Shah Alam.
Ketika ramai menganggap Aqil memiliki sosok yang hampir serupa seperti pelakon yang juga merupakan pemenang tempat ke-3 Hero Remaja 2020, Meerqeen, ini reaksi yang diberikan oleh jejaka asal Kuala Lumpur itu;
“Meerqeen adalah meerqeen dan saya adalah saya. Kami tak sama pun. Muka pun saya rasa jauh beza.
“Bila orang selalu menyamakan saya dengan dia, mungkin ada juga perkara positifnya di situ. Mungkin dari situ orang akan lebih mengenali saya.
“Bagaimanapun, selepas ini, sebolehnya saya tidak mahu dikenali hanya kerana wajah saya seperti Meerqeen. Saya ingin dikenali kerana identiti saya sendiri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Aqil turut menyatakan kesediaannya untuk bersaing dengan mana-mana pelakon serta para selebriti media sosial yang kini semakin membanjiri industri seni tanah air.
“Seperti semua sedia maklum, dunia industri sekarang ini pun memang memandang jumlah pengikut di media sosial.
“Jadi, ketika ini, saya bukan hanya perlu mencungkil bakat saya semata-mata tapi saya juga perlu aktif di media sosial untuk menaikkan followers dan berinteraksi bersama peminat.
“Kesemua perkara tersebut adalah penting untuk nama saya makin dikenali lebih-lebih lagi di peringkat awal pembabitan saya didalam dunia seni ini,” akhirinya.
Sekadar informasi, pada malam finale yang berlangsung pada Sabtu, finalis, Mierul Aiman telah pun diumumkan selaku juara manakala Aqil harus berpuas hati ditempat kedua.
Tempat ketiga dan keempat pula masing-masing dimenangi oleh finalis Fazziq Muqris dan Afiq Hamidon.
Pentas Finale Hero Remaja 2021 telah dihoskan oleh gandingan pengacara Nadhir Nasar dan Shaza Bae.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI