
Pelakon Indonesia, Nita Gunawan mendakwa dirinya ada melihat jelmaan seakan-anak kelibat nenek tua ketika menjalani penggambaran filem seram terbaharu, Anak Kunti di sebuah hutan di Jogyakarta, Indonesia.
Menurut Nita, jelmaan tersebut muncul tidak jauh dari posisinya yang ketika itu sedang bersiap sedia untuk melakonkan babak pontianak yang sedang terbang.
“Ketika melihat jelmaan nenek tua itu, wajahnya sangat pucat, putih dan dingin. Saya ada bertanya juga kepada penduduk setempat. Jelas mereka, memang di situ ‘penunggunya’ ialah nenek-nenek.
“Malah waktu babak di dalam hutan sedang berjalan, bukan saya sahaja yang nampak tapi pelakon lain juga.
“Namun, mahluk tersebut tidak mengganggu. Saya pun ada berdoa bahawa keberadaan kami di sini adalah untuk bekerja dan bukan untuk mengganggu,” katanya kepada MH.
Pelakon asal Jawa Tengah, Indonesia itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan pertama filem Anak Kunti di TGV, KLCC, baru-baru ini.
Pernah Nampak Pocong, Genderuwo & Pontianak
Bagaimanapun, insiden tersebut sama sekali tidak mengganggu fokus Nita kerana dia sudah terbiasa melihat mahluk halus sejak kecil.
“Insiden tersebut tidak membuatkan saya takut atau trauma. Saya lagi suka mencari tahu. Sejak kecil, saya memang boleh melihat mahluk halus. Saya pernah nampak pocong, genderuwo dan kuntilanak.
“Sampai sekarang, saya masih boleh merasakan keberadaan makhluk-makhluk ini,” katanya lagi.
Malah tambah Nita, keluarganya sudah kerap menghantarnya berubat tapi usaha tersebut gagal.
Sementara itu, Nita teruja apabila filem Anak Kunti bakal ditayangkan di Malaysia dan berharap agar lakonannya itu dapat menambat hati penonton tempatan.
“Saya berasa sangat bangga. Ini kali pertama saya melakonkan watak hantu. Semoga karya ini boleh diterima.
“Filem ini bukan sekadar kisah seram tetapi turut menggambarkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya yang akan berkekalan selama-lamanya.
“Senang cerita, kasih sayang ini akan terjalin sehingga mati,” akhirinya.
Filem Anak Kunti akan menemui penonton serentak di sembilan negara, termasuk Malaysia mulai 20 Februari depan.
Selain Nita, filem arahan Bambang Drias ini dibintangi pelakon lain seperti Gisellma Firmansyah, Nita Gunawan, Abun Sungkar, Jajang C Noer, Iwa K, Wavi Zihan, Ruth Marini dan ramai lagi.
Naskhah ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat tempatan ST Media yang berperanan sebagai penerbit eksekutif bersama dengan Drias Film
Production.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI