Berita

“Wake-Up Call Untuk Pastikan Kita Ada Penambahbaikan,” – Shuib Lunas Tunggakan KWSP Pekerja, Isu Selesai

Share

Selebriti dan usahawan, Shuib memaklumkan isu kelewatan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syarikat minuman Bubble Bee miliknya sebagaimana yang tular sebelum ini sudah selesai.

Menurut Shuib, 39, pihaknya juga sudah berhubung dengan KWSP bagi urusan pembayaran dan 300 pekerjanya juga sudah dimaklumkan mengenai hal berkenaan.

Malah, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk tangani masalah tersebut.

“Semuanya saya ambil sebagai ‘wake up call’ dan satu pengajaran kepada Bubble Bee tetapi dalam masa sama kita sangat komited serta positif untuk memastikan jenama ini terus ke depan.

“Maksudnya, segala permasalahan mengenai KWSP telah pun selesai. Pekerja sudah mendapat memo dan menerima e-mel selain sedia faham mengenai status (pembayaran) KWSP.

“Malah pihak kami pun sudah pun berhubung dengan KWSP untuk proses pembayaran secara ansuran. Semua resit sudah pun ada. Sebab itulah pekerja saya okay.

“Mereka happy dan bersemangat untuk moving forward. Macam saya cakaplah, apa yabg berlaku ialah ‘wake-up call’ untuk saya jyga demi memastikan kita adakan penambahbaikan,” katanya.

Shuib berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian outlet baharu Bubble Bee cawangan Masjid Tanah, Melaka, pada Ahad.

Menurut Shuib, walaupun isu itu memberi tekanan kepada dirinya, dia bagaimanapun tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertindak menularkan isu terbabit.

Mengulas mengenai kedudukan kewangan Bubble Bee yang dikatakan berdepan masalah, Shuib menafikan perkata terbabit.

Jelas Shuib yang juga penyampai radio, dengan sokongan pelbagai pihak syarikat minumannya berada dalam keadaan stabil dan kini dalam proses penukaran konsep baharu di semua 45 cawangan di Semenanjung Malaysia.

Terdahulu, Shuib mengakui syarikat jenama minuman miliknya itu lewat membayar caruman KWSP seperti yang didakwa seorang individu.

Shuib memaklumkan, masalah tersebut timbul disebabkan berlakunya salah urus dalam syarikatnya dan juga perubahan sistem pengurusan. 

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH