Sebentar tadi telah berlangsungnya pertandingan Miss Universe 2022 yang menyaksikan wakil Amerika Syarikat, R’Bonney Gabriel, 28, diangkat sebagai juara mengalahkan 83 peserta yang lain. Gadis berketurunan Amerika Syarikat dan Filipina itu menjadi Miss USA kesembilan memegang mahkota Miss Universe.
Tempat kedua jatuh kepada wakil Venezuela, Amanda Dudamel manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh wakil Republik Dominican, Andreina Martinez Founier. Melangkapkan kelompok top 5 pula adalah wakil dari Curacao, Gabriela Dos Santos dan Puerto Rico, Ashley Carino.
Sebelum ini R’Bonney Gabriel yang merupakan Miss Texas USA menjadi mangsa buli dan juga kontroversi ketika kemenangannya sebagai Miss USA. Ia terjadi apabila ada peserta lain menyatakan bahawa dia tidak sepatutnya menang dan diberikan layanan istimewa. Namun dia tampil membuktikan perkara itu tidak benar dengan memenangi edisi antarabangsa secara adil.
Ketika berada di peringkat top 3, R’Bonney ditanya mengenai bagaiamana dia akan bekerja jika memenangi gelaran Miss Universe untuk menonjolkan bahawa organisasi tersebut adalah sebuah organisasi yang memperkasakan dan juga progresif.
ARTIKEL BERKAITAN: 10 Selebriti Ini Pernah Jadi Ratu Cantik Wakili Malaysia Ke Persada Antarabangsa
“Baiklah, saya akan menggunakannya untuk menjadi pemimpin transformasi. Sebagai seorang pereka yang beresemangat saya telahg menjahit selama 13 tahun, saya menggunakan fesyen sebagai kekuatan untuk kebaikan. Dalam industri saya, saya mengurangkan pencemaran dengan menggunakan bahan kitar semula apabila saya membuat pakaian saya.
“Saya mengajar kelas jahitan kepada wanita yang terselamat daripada pemerdagangan manusia dan keganasan rumah tangga. Dan saya berkata demikian kerana sangat penting untuk melabur dalam orang lain, melabur dalam komuniti dan menggunakan bakat unik anda untuk membuat perubahan.
“Kita semua mempunyai sesuatu yang istimewa, dan apabila kita menanam benih itu kedalam orang lain dalam hidup kita, kita mengubahnya, dan kita menggunakannya sebagai satu angin untuk perubahan,” jawabnya yakin.
Pertandingan Miss Universe edisi ke 71 ini mencipta kejutan apabila ramai wajah-wajah kegemaran ramai tidak berjaya menembusi jajaran top 16. Antaranya wakil dari Filipina, Thailand, Mexico dan Indonesia. Dari bahagian Asia Tenggara hanya Wakil Laos, Payengxa Lor sahaja yang berjaya bergelar peserta top 16.
Wakil Malaysia, Lesley Cheam pula tidak berjaya menjadi pemecah kemarau untuk negara ini yang sudah 52 tahun tidak mara ke peringkat semifinal. Kali terakhir Malaysia berjaya adalah pada tahun 1970 menerusi perwakilan, Josephine Lena Wong. Namun begitu pujian wajar diberikan kepada Lesley kerana menonjolkan prestasi yang membanggakan saat pusingan awal pertandingan.
Mula berkampung di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat sejak 6 Januari lalu, para peserta dari seluruh dunia ‘berkampung’ dan melalui pelbagai peringkat saringan. Antaranya pertandingan pakaian gaun petang, bikini, kostum nasional dan juga temuduga tertutup.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan