Penyanyi, Amelina yang kini muncul menerusi single terbaru berjudul Janda Anak Enam sejujurnya mendedahkan, lagu berkenaan sedikit sebanyak turut berkaitan dengan kisah hidupnya yang bergelar ibu tunggal, lebih lima tahun lalu.
Bagaimanapun kata Amelina, lagu tersebut juga turut ditujukan buat mereka bergelar ibu tunggal, tetapi dalam sisi yang sinis.
“Ia sinis mengisahkan kisah rumah tangga yang dilalui bersama bekas suami. Kiranya, saya mewakili suara wanita yang senasib. Iyelah, sebab apabila sudah berpisah, macam-macam hal yang terpaksa dilalui.
“Pada masa sama, boleh buktikan yang kita (ibu tunggal) ini pun boleh berjaya, dengan kudrat sendiri tanpa suami,” kata penyanyi berusia 45 tahun ini lagi.
Lebih simbolik, lagu tersebut juga boleh dikatakan sebagai kesinambungan kepada lagu lamanya, Anak Dara yang dirakam lebih 20 tahun lalu.
“Dulu kan saya ada rakam lagu tersebut, jadi kini lagu Janda Anak Enam ibarat pelengkaplah kepada lagu tu. Dulu anak dara, sekarang dah berkahwin kemudian berpisah,” seloroh Amelina yang turut menyambut baik sambutan positif peminat terhadap lagu ciptaan adik kepada Iwan Dangdut itu.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik. Meski sebulan dilancarkan, ia sudah pun mendapat lebih 159,000 di YouTube setakat ini. Kiranya ia baik, meski promosi belum dilakukan secara menyeluruh,” katanya yang bakal menjalani penggambaran untuk muzik video lagu tersebut dalam tempoh terdekat.
Ibu kepada enam cahaya mata ini ditemui MH di lokasi penggambaran drama 14 episod, Patah Sayap Bertongkat Paruh di Kapar, Klang pada Isnin.
Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama terbitan Zeel Production Sdn Bhd itu, Amelina yang mendukung watak sebagai Maznah memberitahu, dia teruja untuk beraksi di hadapan kamera meski pada awalnya tertekan kerana melibatkan babak yang banyak.
“Memang pada mulanya tak jangka. Ingatkan sebagai penampilan khas sahaja. Bagaimanapun, beberapa hari selepas penggambaran, saya terima lagi skrip untuk dihafal.
“Lalu ia membayangkan babak yang kena shooting pun banyak. Rezeki alhamdulillah,” jelas Amelina yang turut kagum dengan semangat para pelakon lain.
Selain Amelina, drama bersiri arahan Along Kamaludin itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Fasha Sandha, Elly Mazlein, Jalil Hamid, Lydiawati dan ramai lagi.
Foto: Instagram Amelina
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI