Penyanyi senior, Wann atau nama lengkapnya, Wan Rashidah merakamkan rasa terima kasih dan bersyukur kerana sekurang-kurangnya, dia berjaya menempatkan diri hingga ke semi final program Gegar Vaganza 6 (GV6).
Percaya kepada rezeki, bintang berusia 49 tahun itu bagaimanapun akui dirinya sudah jangka tersingkir memandangkan tiada pembaharuan yang boleh disuntik di dalam persembahannya dari minggu ke minggu.
“Saya bersyukur sampai ke tahap ini sebabnya rakan peserta lain rezekinya di GV6 tidak berapa panjang. Kiranya saya mendoakan yang terbaik untuk semua dan apa pun, saya dan jangka.
“Bonda tanya saya di mana kehebatan saya. Saya tak hebat mana… Cuba sahaja. Tapi ada orang lagi yang lebih hebat. Misalnya Hady Mirza dan Naqiu.
“Walau saya bukan juri, tetapi sebagai penyanyi yang sudah lama, saya boleh agak siapa yang akan ke final.
“ONE misalnya setiap minggu ada idea dalam membuat persembahan. Kalau saya jadi penonton pun, saya terhibur dengan persembahan mereka,” katanya optimis.
Pada masa sama, Wann turut mengakui peserta finalis GV6 mempunyai kelebihan tersendiri.
“Saya tahu, saya tiada ‘benda’ atau sesuatu yang berbeza untuk dipersembahkan atas pentas. Saya menyanyi saja, tak buat aja je pun. Itulah kelebihan mereka,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Wann menyanyikan lagu Dua Insan duet dengan Zarul Umbrella serta lagu solo Ku Gembira Di Sampingmu.
Mengulas mengenai perancagannya selepas ini, Wann memaklumkan dirinya masih lagi mahu meneruskan kerjaya bidang nyanyian.
“Selepas ini saya masih bernyanyi seperti biasa dan sekarang ini terlalu awal untuk saya beritahu perancangan lain selanjutnya,” kata Wann.
Selain Wann, Noorshila Amin juga menerima nasib sama apabila bintang itu turut tersingkir pada konsert yang berlangsung semalam.
GV6 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).