“Walau Emas Dirampas, Anda Tetap Juara,” – Selebriti Titip Kata Semangat Buat Ziyad Zulkifli

Share

Keputusan pihak Olahraga Para Dunia untuk membatalkan pingat emas yang dimenangi oleh atlet para negara, Ziyad Zulkifli menerusi acara final lontar peluru kategori F20 di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nyata menimbulkan kemarahan di hati jutaan rakyat Malaysia.

Menerusi hantaran terkini di laman Instagram, Ziyad dilihat telah pun membuat permohonan maaf buat seluruh rakyat Malaysia berhubung insiden berkenaan.

“Saya minta maaf buat seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan kepada saya,” tulisnya ringkas.

Antara yang turut sama meluahkan rasa kecewa termasuklah pelawak, Harith Iskander.

Jelas Harith, Ziyad sebenarnya tidak perlu membuat sebarang permohonan maaf kerana jutaan rakyat Malaysia sudah pun mengetahui mengenai kemampuan sebenar dirinya yang telah memecahkan rekod dunia dalam acara akhir yang berlangsung pada Selasa.

“Satu permintaan maaf yang TIDAK PERLU. You are a TRUE CHAMPION with a WORLD RECORD BEATING putt.
RESPECT,” katanya.

Bagi pelakon, Ummi Nazeera pula, dia berasa amat kecewa dengan sikap yang dipamerkan oleh atlet daripada negara Ukraine itu yang disifatkan sengaja ingin merampas kemenangan pingat daripada Ziyad.

“Eeee geram sangat laaah! Saya bantah gold medal Ziyad ditarik balik. Bantah.

“Sian Ziyad. Ziyad pecahkan world record kot. Itu pun pecahkan record sendiri. You know for sure Ziyad is that good, Ukraine,” ujarnya.

Sementara itu, pengacara dan penyanyi nasyid, Fakhrul UNIC turut menyifatkan Ziyad sebagai juara di hati seluruh rakyat Malaysia meskipun tidak dapat membawa pulang pingat emas seperti yang diidam-idamkan.

“Juara sebenar, satu dunia dah tahu tentang kisah sebenar dan nampak andalah emas Malaysia.

“Sukan memang begitu, ada adil ada yang kadang tak masuk akal. Walau emas dirampas @ziyadzolkefli, anda tetap juara rakyat Malaysia,” luahnya lagi.

Terdahulu, malapetaka menimpa atlet lontar peluru F20 negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Paralimpik Tokyo 2020 apabila kemenangannya menerusi acara itu telah dibatalkan.

Ia selepas dia serta dua lagi peserta lain dari Ecuador dan Australia difahamkan menerima protes daripada kem Ukraine kerana dikatakan lambat memasuki ‘call room’ atau bilik persediaan atlet sebelum turun beraksi.

Sumber: Instagram Ziyad Zulkifli, Harith Iskander, Ummi Nazeera, Fakhrul UNIC & Team Malaysia

Published by
Aizam Manaf