Sejak beberapa hari lalu, hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu melibatkan para wanita yang dikatakan tidak tahu melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan menyiang ikan.
Mengulas mengenai isu tersebut, penyanyi, Aufahanie akui bertuah kerana sudah terbiasa melakukan kerja-kerja di rumah terutamanya selepas kedua ibu bapanya memutuskan untuk bercerai.
“Umi dan ayah sudah berpisah. Jadi, saya hanya tinggal bersama ayah sejak berusia 10 tahun sehingg 15 tahun. Jumpa ibu pun hanya kadang-kadang.
“Selama ini, saya pernah tinggal bersama ayah, abang dan duduk sendiri. Bila tinggal bersama ayah, saya kena jaga adik dan abang. Memasak dan buat kerja rumah itu memang kerja saya.
“Ketika PKP, sayalah yang menggalas tugas sebagai ibu. Jadi, saya memang tiada masalah sangat nak buat kerja-kerja rumah.
“Walaupun kisah hidupnya pahit, ada hikmahnya juga,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Geming Jiwa itu berkata sedemikian ketika ditemui di progam santai bersama media yang dianjurkan syarikat rakaman Indigital Music dan FYP Media pada Rabu.
Jelas Aufahanie lagi, tidak tahu melakukan kerja-kerja rumah bukanlah satu masalah besar sebaliknya setiap ilmu itu boleh dipelajari asalkan ada kemahuan.
“Pada saya, fasal memasak atau siang ikan, kita boleh belajar perlahan-lahan. Ada segelintir wanita bila sebelum berkahwin, dia tak masuk dapur langsung. Semuanya ibu mereka yang buat sendiri.
“Mungkin sebab ibu mereka terlalu perfectionist dan tak mahu diganggu ketika di dapur. Namun, bila sudah berkahwin, mereka akan ada inisiatif untuk belajar memasak.
“Asalkan kita nak belajar. Saya belajar memasak pun daripada internet atau telefon ibu minta resepi. Lama-kelamaan, kita jadi pandai sendiri,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Aufahanie bakal melanjutkan pengajiannya diperingkat ijazah sarjana muda dalam jurusan komunikasi massa.
“Hampir setahun juga saya menagguhkan hasrat untuk menyambung pengajian disebab program Big Stage.
“Sebelum ini, saya melanjutkan pengajian di sebuah universiti awam dalam bidang diploma muzik. Namun, saya terpaksa berhenti disebabkan hal peribadi.
“Saya tetap nak habiskan belajar. Adik beradik saya semua berpelajaran tinggi. Bapa saya pula ada sedang sambung master. Rasa janggal pula kalau saya tak tamatkan pelajaran,” akhirinya.
Terdahulu, Aufahanie baru sahaja melancarkan sebuah lagu cover yang berjudul Saat Hilang Cintamu nyanyian asal penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.