Pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail menganggap gurau senda sesama rakan pengacara ketika program siaran langsung merupakan perkara normal namun, tidak seharusnya dilakukan secara berlebihan.
Menurut Faizal, setiap bahan jenaka itu sebaiknya dirancang terlebih dahulu agar tiada pihak yang akan tersinggung atau berkecil hati.
“Ketika zaman saya mengacarakan AJL, saya juga ada ‘bahan-membahan’ sesama hos seperti Cheryl Samad dan Ally Iskandar.
“Namun, segalanya telah dirancang. Kita kena tahu setakat mana mereka boleh menerima lawak tersebut.
“Bila jenaka itu dilontarkan, masing-masing akan gembira. Tidak akan ada masalah di situ,” katanya kepada MH.
Penyampai radio Zayyan itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program terbaharu, Borak Seeni yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Katanya lagi, setiap pengacara harus bertanggungjawab dengan segala tindak tanduk mereka ketika di atas pentas.
“Namun, bila melihat keadaan sekarang, mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dengan orang lain. Jadi, mereka gunakan platform tersebut untuk menyindir atau mungkin sahaja niat untuk melawak.
“Ditambah pula individu yang dijadikan bahan lawak itu tiada di program berkenaan. Jadi, konteks penerimaan itu tidak sama.
“Pada saya, kita kena dapatkan persetujuan. Walaupun nak terlihat natural, sebaiknya kita minta izin sebelum membuat jenaka mengenai orang lain,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai impak yang bakal diterima oleh artis sekiranya perkara ini hanya dibuat-buat demi menaikkan rating program, ini reaksi Faizal;
“Jika perkara itu dirancang demi publisiti, ia secara tidak langsung akan mengorbankan satu pihak. Ada yang akan terlihat baik dan ada yang akan dipandang keji.
“Peminat dan netizen tidak akan faham. Mereka akan sokong artis kesukaan mereka sahaja. Yang akan menerima kesannya lebih kepada hos lama.
“Hos baru ini sedang meningkat naik dan menjadi kesukaan ramai. Jadi, hos lama ini akan terima kecaman yang lebih,” ulasnya.
Pada masa sama, Faizal turut menasihatkan para rakan artis untuk sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
“Sebagai selebriti, kita kena tujukkan contoh yang baik kerana kita sering dijadikan rujukan. Ada juga yang memandang kita sebagai idola lebih-lebih lagi orang muda.
“Bila terjadi isu seperti ini, kesannya akan dirasai anak-anak muda ini. Mereka akan sokong artis mereka di media sosial. Secara tidak langsung akan menimbulkan pergaduhan dan stres.
“Kepada artis, jangan anggap tugas kita remeh. Paparkanlah perkara bermanfaat kepada masyarakat,” akhirinya.
Terdahulu, Faizal telah pun diperkenalkan sebagai salah seorang hos bagi program buat bicara terbaharu, Borak Seeni.
Selain Faizal, Borak Seeni turut menampilkan barisan pengacara seperti Erra Fazira, Nana Mahazan, Dahli Syazwan, Hunny Madu, Haziq Hussni dan Keanu Azman.
Program ini bersiaran pada setiap Selasa hingga Jumaat jam 11 pagi di saluran Astro Prima dan Youtube Borak Seeni.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI