Trio komposer dan penulis lagu, MFMF meluahkan rasa bangga selepas lagu ciptaan mereka bersama penyanyi, Hael Husaini berjudul Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-35.
Menurut MFMF, mereka menyifatkan keputusan untuk berhenti daripada perkerjaan korporat seterusnya mengejar impian dalam bidang muzik adalah sangat berbaloi.
“Tak sangka dalam dua tahun sahaja, dari kami berhenti kerja dalam dunia korporat untuk mengejar impian untuk membuat muzik (walaupun semua orang asyik mengutuk kami yang kami akan gagal), sampailah kami ke semi-finals #MM35 dgn lagu #PeluangKedua.
“Terima kasih kepada semua yang telah mempercayai kami dan hasil kerja MFMF. @haelhusaini @nabila.razali
“Kami bersyukur sangat dapat berada di antara superstars terhebat Malaysia. Terima kasih! Dan tahniah kepada semua kawan-kawan kami yang juga masuk semi-finals!,” tulis pengendali akaun tersebut.
Jelas MFMF lagi, meski ramai yang meragui kemampuan mereka ketika diawal kemunculan, tetapi mereka tetap tidak pernah patah semangat dan usaha mereka ternyata membuahkan hasil.
MFMF dianggotai oleh tiga orang anak muda berbakat iaitu Brenden Lim, Justin Seow dan Zen.
Selain daripada lagu Peluang Kedua, nama MFMF turut melonjak naik selepas kejayaan lagu Cute nyanyian asal Harith Zazman dan Loca B yang telah pun meraih lebih 13 juta tontonan di laman Youtube.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan ucapan tahniah diatas pencapaian membanggakan trio tersebut.
Terdahulu, senarai 30 buah lagu yang akan bersaing di peringkat separuh akhir Muzik Muzik ke-35 sudah pun diumumkan pada 2 November lalu.
Konsert separuh akhir Muzik Muzik ke-35 akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula pada Jumaat hingga Ahad 20, 21 dan 22 November 2020.
Konsert ini bakal dihoskan oleh Haziq Hussni bersama gandingannya Sherry Al-Hadad dan akan bersiaran pada pukul 9 hingga 11 malam dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Sumber: Instagram MFMF