Hiburan

“Walaupun Muka Dia Macam…,” – Walau Tak Bagi Kata-Kata Semangat, Alyah Tetap Gembira Tok Ram Tonton Show

Share

Penyanyi Datin Alyah akui tersentuh dengan kehadiran suaminya yang juga merupakan maestro muzik, Datuk Ramli MS yang menonton persembahannya ketika konsert minggu pertama The Hardest Singing Show (THSS), Ahad lalu.

Menurut Alyah, dia juga teruja apabila Datuk Ramli atau lebih mesra disapa Tok Ram duduk di barisan hadapan sepanjang konsert berlangsung.

“Walaupun muka dia macam tiada perasaan tapi tak mengapalah. Janji dia datang. Nak kata gembira sangat pun tidaklah.

“Kami berdua merupakan orang yang sama-sama berada di dalam industri. Saya tahu kerja dia dan keberadaan dia di mana.

“Cuma bila tiba-tiba dia duduk di hadapan untuk sebuah program, ia merupakan satu yang istimewa buat saya untuk minggu yang pertama ini.

“Saya tahu dia akan datang sebab nak promosikan program Projek Bapak-Bapak,” katanya kepada MH.

Alyah berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai program THSS, di Auditorium CIDB, Cheras pada Ahad.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa ini turut mendedahkan Tok Ram mempuyai cara sendiri dalam menunjukkan sokongan.

“Dia nak bagi idea dan kata-kata perangsang? Memang tidaklah. Ucapan ‘good luck’ pun tiada. Signal diantara kami mungkin berbeza.

“Kami kenal diri masing-masing. Saya kenal dia dan dia kenal saya,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, Tok Ram juga tidak pernah menghalang keinginannya untuk menyertai pertandingan nyanyian.

“Dia tidak menyokong dan tidak juga menghalang. Cuma dia kata jangan mengadu penat sahaja bila masuk pertandingan ini.

“Jadi, kalau penat pun, saya akan diam sahaja. Dia okay sahaja dengan keputusan saya nak masuk program ini,” kongsinya lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan Tok Ram akan terlibat dengan persembahan Alyah pada minggu-minggu mendatang, Alyah memaklumkan dirinya masih belum mempunyai perancangan sedemikian.

“Tak payahlah nak bawa Tok Ram setiap minggu. Sudah-sudahlah. Gegar Vaganza pun dah sampai 10 tahun. Bagi peluang pada saya pula,” selorohnya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf