Pelakon meningkat naik, Siti Hariesa akui watak Lutfiyah yang juga merupakan ibu tumpang nyata menguji kemampuannya untuk memberikan kualiti lakonan yang terbaik di dalam drama terbaharu, Senyawa.
Menurut Hariesa, watak ini memerlukan permainan emosi yang tinggi bagi memastikan perasaan itu sampai ke jiwa penonton.
“Ini adalah kali pertama saya membawakan watak berat dan bermain dengan pelbagai emosi. Watak ini sangat susah untuk dibawakan tapi saya mendapat bimbingan daripada pengarah, Eyra Rahman.
“Watak ibu tumpang ini juga sangat mencabar. Seperti kita tahu, ibu tumpang adalah haram di sisi agama Islam.
“Namun, kepada pada penonton, lihatlah cabaran yang terpaksa dilalui oleh seorang ibu tumpang ini. Walaupun perbuatan ini salah tapi kepayahan yang harus dilalui itu juga memang perit,” katanya kepada MH.
Hariesa berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Senyawa, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon berusia 26 tahun berharap agar penonton tidak cepat menilai sebaliknya harus menghayati mesej yang ingin di sampaikan di dalam drama ini.
“Jika bawa watak antagonis dan penonton benci, itu bermakna lakonan kita berjaya. Walau berjaya, kita tetap dihentam. Namun, ibu tumpang ini adalah kisah yang berbeza.
“Di dunia nyata, saya bukanlah seorang ibu tumpang dan ia hanyalah watak yang saya mainkan.
“Saya nak tunjuk watak seorang wanita yang terpaksa melalui susah payah hidup dan konflik yang sangat banyak.
“Jadi, saya harap penontan dapat melihat daripada perspektif watak Lufya dan bukan hanya sekadar wanita ibu tumpang.
“Walaupun perbuatan itu salah, dia tetap berusaha untuk menjadikan hidupnya lebih baik,” kongsinya lagi.
Selain Hariesa, drama arahan Eyrah Rahman ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Shahz Jaszle, Trisha Ooi, Datin Nina Jurin dan Aleza Shadan.
Senyawa bakal ditayangkan bermula 25 Oktober ini, pada Jumaat dan Sabtu jam 9 malam di platform penstriman Iqiyi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.