Hiburan

“Wanita Perlu Berani…,” – Taja Persembahan ‘Jangan Mati Rasa Itu’ Di AJL38, Datin Seri Adzliana Bangga Kejayaan Aina Abdul

Share

Usahawan dan Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd (USANITA), Datin Seri Adzliana Hasan tumpang gembira melihat kejayaan yang dilakar penyanyi Aina Abdul di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), baru-baru ini.

Sebagai penaja persembahan lagu Jangan Mati Rasa Itu, Adzliana teruja apabila dapat merialisasikan impian Aina.

“Kalau nak tanya kos, saya pun tak ingat. Namun, saya nampak kelainan yang Aina dan pasukannya cuba tampilkan. Sememangnya di luar jangkaan.

“Ramai yang kongsikan semula video persembahan Aina kepada saya. Rata-rata kata terkejut dan sifatkan persembahan Aina sangat dasyat,” katanya kepada MH.

Adzliana berkata sedemikian ketika ditemui di acara tertunjukkan fesyen Amber x Anna Jobling yang berlangsung di The Estate, Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya lagi, Aina dan USAHANITA telah lama bekerjasama lebih-lebih lagi dalam usaha untuk memperkasakan wanita.

“Aina banyak terlibat dengan program kita yang berkisarkan tentang pemerkasaan wanita di USAHANITA.

“Bila saya melihat Aina, dia punyai kemampuan untuk memberikan kekuatan khususnya buat para wanita melalui nyanyiannya.

“Orang ramai sukakan suara dan penampilan Aina walaupun dia tampil agak luar biasa,” katanya lagi.

Lantaran itu, Adzliana juga mahu para wanita mencontohi keperibadian Aina yang sentiasa berani mengejar apa yang diinginkan.

“Pada saya, Aina punyai satu ciri yang sangat istimewa yang membuatkan para wanita datang ke platform saya. Bila kami berbincang, Aina juga sukakan misi USAHANITA.

“Aina suka mencuba fesyen yang orang lain tak berani nak buat. Kelainan inilah yang patut diterapkan kepada para wanita di luar sana untuk sentiasa berani mencuba.

“Disebabkan itu, kami melantik Aina sebagai rakan strategik. Kami mahukan para wanita ini berani untuk melakukan sesuatu di dalam hidup mereka,” ulasnya lagi.

Terdahulu, Adzliana yang juga merupakan pemilik jenama feysen Amber teruja untuk memerkenalkan kempen Atma Sari sempena koleksi Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2024.

Untuk kempen kali ini juga, Amber telah berkolaborasi bersama pelakon terkenal, Anna Jobling.

Sebanyak 12 koleksi pakaian wanita dan dua jenis kurta lelaki yang hadir dengan empat jenis warna telah pun diperkenalan untuk koleksi tahun ini.

Menariknya, kesemua koleksi Atma Sari telah dinamakan sempena nama-nama watak yang pernah dilakonkan Anna sebelum ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf