Wanita Yatim Piatu Ini Hadirkan Video Sayu Hargai Orang Tua; Ibu Meninggal Pada Usia 5 Tahun, Bapa Yang Kerja Buruh Kasar Turut Pergi Menghadap Illahi

Share

Membesar tanpa nikmat kasih sayang ibu bapa tidak pernah mematahkan semangat ahli perniagaan Norsidayati Mustari dari Tawau, Sabah untuk terbang tinggi.

Wanita berusia 32 tahun yang mesra disapa Sis Bell ini kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Sufiah Habib Zain yang bekerja sebagai penjual sayur sejak usianya lima tahun.

Manakala bapanya, Allahyarham Mustari Subutanratu yang berasal dari Indonesia dan bekerja sebagai buruh kasar pula meninggal dunia saat dia berumur 19 tahun.

Dalam tempoh tanpa ibu dan bapa, wanita yang kini sukses mengusahakan produk kecantikan jenama Beautyspells, dijaga oleh makcik dan nenek tersayang.

Mengambil inspirasi berdasarkan kisah lalu yang dilalui, Sis Bell menzahirkan naskhah itu menerusi tiga video drama pendek berjudul Kerinduan Seorang Anak. Ia dipromosikan secara tiga bahagian di akaun Facebook rasminya, Bell Mustari sejak 29 Julai lalu.

Sementara siri kedua dan ketiga telah pun dimuat naik pada beberapa hari lalu dan yang terakhir, hari ini.

“Saya tahu untuk berkongsi kejayaan dikecapi ini dengan ibu bapa sangat mustahil. Mereka lebih dulu pergi meninggalkan saya. Hanya rasa rindu yang mencengkam ketika mengenangkan mereka.

“Saya hanya mampu sedekahkan Al Fatihah untuk mereka yang telah pergi. Walaupun saya dibesarkan tanpa ibu bapa, namun saya mahu mereka yang senasib untuk terus kebalkan hati dan semangat.

“Begitu juga yang masih punyai ibu bapa untuk hargai peluang dan cipta kenangan bersama. Kita takkan pernah tahu siapa dulu yang akan menyahut seruan Ilahi,” katanya.

Menurutnya lagi, selepas kematian ibu, arwah bapa terpaksa pulang ke tanah asal di Indonesia atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Dari usia lima hingga 19 tahun saya tak sempat bersua muka dengannya. Makcik yang menjaga saya dan dipanggil sebagai mak ada bersua dengan bapa. Saya hanya mendengar khabar dan keadaannya daripada orang yang menyampaikan.

“Saya dapat tahu kekangan kewangan dan masalah dokumen perjalanan membataskan kembaranya ke Malaysia. Dalam tempoh itu, saya hanya sempat berhubungan dengannya menerusi telefon sebanyak dua kali.

“Masih segar ingatan saya terhadap pesanannya untuk menjadi anak berguna dan membanggakan orang tuanya,” katanya yang menyifatkan kejayaan membina empayar perniagaan sejak 2014 di bawah syarikat Beautyspells Sdn Bhd di Sabah atas hasil usaha dan kekuatan diri.

“Orang selalu cakap nak berjaya kena ada sokongan keluarga, ibu bapa dan orang tersayang. Tapi dalam kes saya, ibu bapa sudah tiada untuk melihat kejayaan dikecapi.

“Saya hanya mampu berkongsi dan meminjam kasih sayang nenek dan makcik. Namun kekuatan sebenar yang saya belajar sedari dulu ialah diri sendiri yang menjadi penyokong terhebat.

“Walaupun belajar setakat SPM, saya tak pernah melihat itu sebagai halangan untuk menjadi insan berguna. Beautyspells menjadi bukti kepada susah payah dan pergelutan selama ini. Setiap yang terjadi ada hikmahnya untuk kita jadi lebih kuat,” katanya.

Sis Bell pada masa sama berharap video dihasilkan bukan saja untuk kenangan dirinya tetapi boleh menjadi renungan bersama buat semua.

Berkongsi mengenai video yang dihasilkan, Sis Bell menjelaskan sejak awal berniaga, sudah 10 video dihasilkan. Malah skrip setiap video drama itu dihasilkannya bersama pasukan kerja.

“Video yang dihasilkan kebanyakannya menampilkan saya sebagai pelakon. Satu sebab jimat kos dan cuba untuk belajar serta menimba pengalaman. Pelakon lain yang terbabit pun sama dengan tak ada pengalaman.

“Saya ini bukan pelakon hebat pun. Tapi tidaklah kaku sangat. Saya menonton drama atau filem pun selalu didorong sebab penceritaan atau plot. Tapi sejujurnya, saya minatlah juga dengan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Nelydia Senrose, Remy Ishak dan Tiz Zaqyah.

“Dapat berlakon rasalah ‘feeling’ macam pelakon kesukaan saya itu. Cukuplah berlakon dalam video produksi sendiri,” selorohnya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH