Wany Hasrita Akan Terus Tertutup Soal; “Ibu Pesan, Bahagia Jangan Tunjuk, Derita Pun Jangan.”

Share

Selamat bergelar isteri pada Jumaat lalu, kisah cinta yang disimpan rapi Wany Hasrita selama ini menjadi antara bualan ramai yang kagum dengan sikap selebriti itu dalam menjaga hal peribadinya.

Ramai memuji serta ingin menjadikan contoh seperti yang ditunjukkan Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, dalam berkongsikan kisah cintanya kepada umum.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Wany berharap agar tindakan dalam merahsiakan perhubungan sehingga sah bergelar suami isteri dapat dicontohi orang di luar sana.

“Sebenarnya saya berahsia sebab pengalaman sebelum ini. Kalau tak pasti, tak sah (jangan kongsi) sebab tak rugi apa pun sebenarnya.

“Kalau kongsi tetapi tak jadi nanti kena padam satu-satu. Harap sedikit sebanyak menjadi contoh kepada orang di luar sana,” katanya kepada MH.

Selain itu, penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu mengakui dia sedikit sebanyak mengikut pesanan ibunya, Norita Jaafar agar tidak terlalu menayang kebahagiaan kepada orang luar.

Menurut Wany, selepas berkahwin dia akan tetap meneruskan prinsip tersebut, yang mana tidak terlalu mengembar-gemburkan hal peribadi di media sosial.

“Saya gementar juga nak cakap… takut-takut kalau terbuat nanti. Tetapi saya bersetuju (hadkan perkongsian hal peribadi) sebab ibu pun dah pesan, bahagia jangan tunjuk, derita pun jangan tunjuk.

“Macam gambar raya bolehlah saya kongsikan,” ujarnya tertawa.

Wany selamat diijabkabulkan dengan seorang juruterbang asal Kuching, Sarawak, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, pada Jumaat lalu bertempat di Damansara Perdana, Selangor.

Dalam majlis tersebut, Wany menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian bagaimanapun wang hantaran dirahsiakan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto:  Instagram Wany Hasrita

Published by
Juliana Johar