Sejak semalam heboh di media sosial tentang isu fan club kepada penyanyi, Wany Hasrita yang dikatakan bersikap biadap terhadap seorang peniaga barangan dan kelengkapan party.
MH difahamkan Pihak peniaga tersebut telah menerima satu masej menerusi aplikasi Whatsapp yang mengatakan yang kononnya dia mewakili fan club Wany Hasrita iaitu Wanynizers ingin mencari penaja untuk majlis sambutan hari jadi Wany pada bulan ini.
Rentetan daripada masej tersebut yang dirasakan kurang beradab, pihak peniaga itu telah memuat naik perbualan tersebut dan mengatakan cara pihak fan club Wany itu tidak beradab dan terlalu mendesak.
Berhubung itu MH telah mendapatkan Wany Hasrita sendiri untuk bertanya tentang perkara yang sedang menjadi buah mulut ramai pihak ketika ini.
Menurut pemilik suara lunak dan merdu ini ketika mula-mula mengetahui isu ini kecoh di media sosial, dia hanya bertenang dan tidak marah kerana pihak fan clubnya telah menghubungi dirinya terlebih awal bagi menjelaskan apa yang terjadi.
“Saya baru dapat tahu isu ni malam tadi dan saya sendiri baca pada sebuah portal kerana ada orang forward artikel tersebut dalam group Whatsapp.
“First reaction saya bila saya bukak benda tu, saya rasa ok fine saya tutup balik dan tak ada rasa apa-apa pun. Tak ada rasa marah atau sebagainya disebabkan sebelum tu fan club saya sendiri dah terangkan apa yang terjadi sebenarnya,” katanya kepada MH.
Sempat juga MH bertanya pendapat daripada penyanyi muda ini dengan tindakan pihak peniaga tersebut memuat naik perbualan tersebut di media sosial dan memberitahu semua itu adalah salah seorang fan clubnya.
Wany berpendapat sepatutnya tidak perlulah pihak peniaga tersebut membesarkan hal tersebut dan katanya lagi pihak AJK fan club Wany sendiri telah menghantar masej kepada pihak peniaga bagi menjelaskan hal yang sebenar.
Tidak mahu berdiam diri dan disalah ertikan, Wany turut memberi beberapa bukti perbualan antara pengurus kedai tersebut dengan individu yang diperkatakan.
Selepas MH membaca kesemua masej perbualan antara pihak fan club dan peniaga tersebut nampaknya MH sudah mula jelas dengan keadaan yang berlaku. Rupa-rupanya ada individu yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai ahli fan club untuk mendapatkan penaja.
Malah pihak fan club rasmi wany juga turut meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan peniaga tersebut yang telah memuat naik status boleh memalukan kedua-dua pihak tanpa usul periksa.
Sungguh tak patut apa yang dilakukan oleh individu tidak bertanggunjawab tersebut, menggunakan nama orang lain hanya untuk kepentingan sendiri.
Menurut Wany lagi, dia tidak merasakan namanya terjejas dengan perkara yang terjadi ini malah bersyukur kerana selepas hal ini terjadi banyak pihak yang menghubungi dirinya untuk berkerjasama dengan fan club penyanyi ini.
“Alhamdulillah pukul sembilan isu ini diuploadkan ke media sosial dan dalam masa dua tiga jam selepas itu, ada banyak sponsorship yang masuk untuk berkerjasama dengan pihak saya untuk menjayakan birthday party tersebut,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu MH juga sempat bertanya tentang persiapannya untuk pentas Anugerah Juara Lagu 32 nanti.
“Persembahan AJL Alhamdulillah sekarang kita tengah work on baju dan persembahan pentas,” katanya.
Kata Wany lagi akan terdapat beberapa gimik pada malam final AJL 32 nanti namun dia masih tidak boleh berkongsi tentang gimik tersebut.
Beralih kepada perkembangan terbarunya pula selain daripada lagu terbarunya Rintihan Rindu dia juga turut aktiv dalam show dan buat masa ini katanya pihak syarikat rakaman juga memberikan dia sedikit ruang untuk fokus pada pentas AJL 32 nanti.
Tambahnya lagi, jika tiada aral melintang tahun hadapan mini albumnya akan keluar dan terdapat lima buah lagu semuanya. Dalam album tersebut akan ada sebuah lagu berirama tradisional dan sebuah lagu duet terbaru bersama Tajul yang dibuat eksklusif untuk mini album tersebut.