Sambutan 1 Syawal disambut meriah dengan seisi keluarga dan sanak saudara pada Sabtu.
Selain pelbagai juadah enak yang dihidangkan, antara aktiviti wajib ialah bergambar OOTD (outfit of the day) raya.
Yang pastinya, gaya para selebriti tempatan cukup dinantikan ramai peminat setia mereka menerusi perkongsian foto hari lebaran di laman Instagram masing-masing.
Menerusi pemerhatian, kebanyakan selebriti tampil bergaya dengan warna hitam sedondon dengan ahli keluarga.
Antara selebriti yang memilih rona hitam ialah Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama dua anak perempuan mereka, Lara Alana dan Lila Amina.
Rata-rata menyukai baju kebaya moden digayakan Scha yang merupakan hasil tangan pereka fesyen Adila Long.
Selain Awal dan Scha, rona hitam yang sering dikaitkan sebagai warna klasik dan menawan itu turut menjadi pilihan selebriti versatil Alif Satar yang tampil bergaya bersama isteri, Shadila Halid dan tiga anak mereka, Alisha, Arianna dan ‘Ali.
Aktor Beto Kusyairy turut memilih hitam dipadankan bersama isteri, Tisha Shahar.
Beto turut mengatakan sambutan lebaran tahun ini tidak akan sama seperti tahun-tahun sebelumnya selepas isterinya kehilangan bapa tercinta, Shahar Abd Hamid, dua bulan sebelum kedatangan Syawal.
“Tahun ini sambutan lebaran tidak semeriah seperti sebelum ini. Isteri saya baharu kehilangan bapanya dua bulan lalu.
“Walau apapun, kami ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Maaf zahir dan batin. Al-Fatihah buat papa, Shahar Abd Hamid. We miss you so much,” tulis Beto.
Selain itu, hitam turut menjadi pilihan Nabila Huda, Shukri Yahaya, Kaka Azraff dan pengacara Cheryl Samad sekeluarga.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.